KUANTAN – Kerajaan Pahang bersama Kerajaan Persekutuan menuntut rejim Israel membebaskan semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan ketika dalam misi kemanusiaan ke Gaza tanpa syarat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga mengalu-alukan segala usaha dan bentuk sokongan daripada rakyat Pahang, termasuk Himpunan Sumud Flotilla yang akan diadakan di pekarangan parkir Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini selepas solat Jumaat, hari ini.
Menurutnya, sukarelawan itu membawa semangat keberanian dan keikhlasan yang tinggi demi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.
“Tindakan rejim Israel itu jelas satu kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia apatah lagi terhadap mereka yang hadir dengan niat murni untuk membantu insan yang sedang sengsara
“Saya rasa berdukacita dan keprihatinan yang mendalam terhadap penahanan sukarelawan GSF termasuk sukarelawan Malaysia oleh tentera rejim Israel ini,” katanya melalui kenyataan.
Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri menyatakan solidariti penuh terhadap semua sukarelawan yang ditahan dan berdoa agar mereka selamat, dilindungi daripada sebarang bahaya serta segera dibebaskan.
“Rakyat Pahang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut kebebasan dan maruah mereka.
“Pahang juga menyokong sebarang usaha kemanusiaan demi keamanan yang berkekalan di bumi Palestin,” ujarnya.






