KUANTAN – Tindakan rejim Zionis memintas dan menahan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan melampau.
Ini kerana, konvoi berkenaan hanya membawa barangan bantuan untuk diagihkan kepada penduduk di Gaza.
Ketua Wanita PKR Pahang, Sridayu Samsuri berkata, tindakan pasukan tentera Israel itu perlu dikecam oleh masyarakat antarabangsa.
“Tindakan rejim Zionis ini sangat tidak berperikemanusiaan dan satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
“Penggunaan kekerasan oleh pasukan bersenjata Israel tidak boleh diterima dan jelas menunjukkan keangkuhan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, tindak tanduk rejim Zionis itu juga melampaui hak asasi manusia dan prinsip asas kemanusiaan.
Katanya, konvoi GSF adalah satu inisiatif kemanusiaan secara kolektif oleh sukarelawan dan aktivis dari seluruh dunia.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh hanya menjadi penonton dalam hal ini dan satu ketetapan perlu dibuat bagi menghentikan segala penindasan di Gaza.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar mengambil tanggungjawab dan mendesak semua negara anggota PBB mengecam tindakan tidak bertamadun itu,” tegasnya.
Sridayu memaklumkan Wanita PKR Pahang berdiri teguh menyokong misi kemanusiaan oleh GSF dan mendoakan segala kesulitan dihadapi peserta konvoi diatasi segera.



