
RAKYAT Malaysia mengecam sekeras-kerasnya dua tuduhan liar terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Malaysia yang timbul baru-baru ini.
Dakwaan pertama oleh seorang bekas pegawai Amerika Syarikat, kononnya Malaysia menjadi pusat operasi Hamas, dan kedua, fitnah pembangkang pada Oktober 2024 lalu kononnya PMX pro-Israel.
Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedua dua tuduhan ini jelas menunjukkan wujud pakatan fitnah asing dan dalaman yang berkongsi niat jahat.
Katanya, dakwaan seperti ini akan menjatuhkan maruah Perdana Menteri di mata rakyat dan dunia.
Malah turut menggugat kestabilan politik Malaysia.
“Ini adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada dasar kerajaan yang kini kian membela mereka.
“Fitnah dari luar yang dilakukan oleh bekas Pegawai Amerika Syarikat, Jonathan Schanzer kononnya Malaysia sebagai pusat operasi Hamas adalah tohmahan jahat selepas Perdana Menteri dengan lantang mengecam Israel dan menyeru dunia memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel semasa berucap di sidang kemuncak khas Arab-Islam di Doha Qatar.
“Malaysia tegas menentang keganasan namun tetap tidak berganjak daripada prinsip keadilan dan kemanusiaan membela Palestin,” katanya.
Jelasnya lagi, fitnah dari dalam negara pula di lakukan oleh pembangkang yang mendakwa kononnya PMX pro-Israel adalah pembohongan jijik yang bertujuan menanam kebencian dan kemarahan rakyat kepada PMX dan menjatuhkan kerajaan semata-mata.
“Dasar Malaysia jelas iaitu tidak pernah mengiktiraf Israel, tegas mengutuk kezaliman Zionis, dan sentiasa berdiri teguh bersama Palestin.
“Tuduhan ini hanyalah modal politik kotor untuk menipu rakyat. Hakikatnya pembangkang adalah ejen asing,” ujarnya.
Hakikatnya, sama ada suara asing mahupun pembangkang tempatan yang bertindak sebagai ejen asing, mereka sedang bersekongkol dalam menjayakan naratif fitnah yang sama untuk melemahkan kepimpinan PMX dan menjerumuskan Malaysia ke dalam kekacauan.
“Rakyat perlu bijak menolak propaganda jahat ini. Malaysia tidak akan tunduk pada fitnah, ugutan, atau percubaan merosakkan kedaulatan negara.
“Luar tuduh Malaysia pro-Hamas, dalam tuduh PMX pro-Israel. Hakikatnya, dua-dua adalah fitnah, satu agenda bersama mahu menjatuhkan Malaysia.
“Doakan kejayaan misi kemanusiaan
Global Sumud Flotilla untuk memecah kepungan Israel bagi menyempurnakan penghantaran makanan dan ubatan,” katanya.
Bagaimanapun Malaysia tetap teguh, PMX tetap berdiri dan sentiasa mendapat sokongan rakyat malah fitnah pasti akan rebah.







