
NEW YORK – Presiden Perancis Emmanuel Macron, secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam. Tindakan ini dianggap sebagai langkah bersejarah oleh negara Barat yang meningkatkan tekanan terhadap Israel, walaupun pengiktirafan ini masih bersifat simbolik.
Dalam ucapannya, Macron menyeru agar peperangan di Gaza segera dihentikan.
“Sudah tiba masanya untuk keamanan. Kita hanya ada sedikit masa sebelum segalanya terlewat,” kata Macron.
Beliau juga mendesak pembebasan 48 tebusan yang masih ditahan oleh Hamas, dan mahu pengeboman serta keganasan di Gaza dihentikan segera.
Walau bagaimanapun, Macron menjelaskan bahawa Perancis tidak akan membuka kedutaan di Palestin sehingga terdapat gencatan senjata di Gaza dan semua tebusan dibebaskan.
Pengumuman Macron mendapat sambutan hangat daripada delegasi Palestin yang berdiri dan memberikan tepukan gemuruh. Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan tindakan itu sebagai satu keputusan yang ‘bersejarah dan berani’.
Selain Perancis, beberapa negara lain seperti Australia, Britain, Kanada dan Portugal turut mengiktiraf negara Palestin. Ini meningkatkan lagi tekanan antarabangsa terhadap Israel yang kini sedang giat melancarkan serangan ke atas Gaza.
Negara-negara Eropah kecil seperti Monaco, Belgium, Andorra, Malta dan Luxembourg juga menyatakan sokongan mereka kepada Palestin dari pentas PBB. Kini, lebih tiga perempat ahli PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Sebelum ini, Sepanyol, Ireland dan Norway mengambil langkah yang sama pada Mei, manakala Sweden mengiktiraf Palestin sejak 2014.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, menolak keras penubuhan negara Palestin dan berikrar tidak akan membenarkannya. Malah, menteri-menteri kanan dalam kabinetnya mengancam untuk mengambil alih wilayah Tebing Barat bagi menggagalkan hasrat tersebut.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, mendakwa negara-negara yang mengiktiraf Palestin bukan menyokong keamanan, tetapi menyokong keganasan.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melalui jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, berkata tindakan ini adalah ‘ganjaran kepada Hamas’.
Namun, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, memberikan amaran bahawa dunia tidak boleh takut terhadap ancaman tindakan balas susulan pengiktirafan tersebut.






