
KENYATAAN Mursyidi Am Pas, Datuk Hashim Jasin pada Muktamar Pas ke-71 baru-baru ini menarik perhatian penulis bahawa Pas ada ‘tiga empat lori’ kepimpinan seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nampak gah, tapi persoalan ialah lori penuh dengan apa?
Kenyataan itu kadang kalanya penulis mentafsirkannya sebagai sombong dan kadang kalanya seperti bahasa pasar.
Pemimpin berkualiti atau hanya cakap berdegar-degar?
Kalau setakat pandai pidato, retorik berapi-api, tapi janji tak pernah ditepati, lori itu sama saja macam lori pasir yang penuh habuk, tak ada nilai tambah.
Janji RUU355 sampai sekarang masih terperap macam barang kargo di gudang yang tak pernah dihantar.
Kalau ada 3-4 lori pemimpin, tapi majoritinya kaki fitnah, apa gunanya? Lori yang penuh dengan fitnah bukan bawa kesejahteraan, tapi bawa racun politik.
Hakikatnya, sejak sekian lama Pas lebih banyak dikenang sebagai juara menyebar persepsi jahat, bukan juara menunaikan janji.
Kalau ada 3-4 lori pemimpin tapi semua bisu bila Bala baca Quran, di mana ulama-ulama kononnya? Ketika pemimpin DAP baca ayat atau hadis, Pas laju mengecam, kononnya nak jaga kesucian agama.
Tapi bila Bala angkat Quran, semua yang jadi tukang sorak senyap dan nampak benar politik lebih utama daripada maruah agama.
Kalau pemimpin Pas ada 3-4 lori, tapi sibuk dengan syok sendiri berkereta baru, motor besar, isteri baru dan rakyat yang tertipu dengan slogan agama hanya dapat asap lori, bukan muatan yang berguna.
Pas mungkin berbangga kononnya ada berpuluh tokoh pelapis, tapi kalau kualitinya setakat ulang-ulang fitnah, pidato kosong, dan janji tak tertunai, lori itu hanyalah besi buruk yang berat di mata rakyat.
Singkatnya, pemimpin bukan dinilai pada jumlah lori, tapi pada kualiti muatan.
Kalau muatan hanya janji palsu, fitnah, hipokrasi dan kemewahan peribadi, maka lori Pas hanya layak dihantar ke besi buruk kerana sudah tiada harga, cuma bunyi bising bila bergerak.




