PUTATAN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan pihaknya mempunyai asas kukuh membatalkan sewaan lima tahun membabitkan empat helikopter Blackhawk UH-60A buatan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan secara terperinci tindakan susulan terhadap syarikat Aerotree Defence and Services Sdn Bhd yang memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan berhubung pembatalan kontrak sewaan itu.
“Tapi (situasi) ini bukan begitu. Kita bagi penganugerahan untuk mereka bekalkan helikopter tetapi dalam masa yang sepatutnya, helikopter itu tidak dapat nak dibekalkan dan diberi lanjutan masa.
“Kemudian, (helikopter) tidak juga dibekalkan. Jadi atas sebab itu kerajaan batalkannya,” katanya, lapor Berita Harian.
“Tidak mungkin untuk saya beri penjelasan (berkenaan tindakan susulan) kerana itu semua Aerotree akan tahu apa yang kita (mahu) buat.
“Jadi pokoknya ialah kerajaan ada asasnya mengapa penganugerahan (award) itu dibatalkan.
“Kita (kerajaan) beri mereka penganugerahan untuk membekalkan helikopter, tetapi helikopter tidak dibekalkan.
“Ini berbeza jika kita beri penganugerahan, mereka bekalkan helikopter dan selepas kita dapat helikopter, kita batalkan.
“Tetapi (dalam situasi ini) bukan begitu. Kita beri penganugerahan untuk mereka bekalkan helikopter, tetapi dalam tempoh yang ditetapkan, helikopter itu tidak dapat dibekalkan walaupun diberi lanjutan masa. Maka, atas sebab itu, kerajaan membatalkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd memfailkan saman berjumlah RM353 juta terhadap kerajaan berhubung pembatalan sewaan selama lima tahun yang melibatkan empat helikopter Blackhawk UH-60A.








