
SRI AMAN – Cadangan penambahbaikan penganjuran sukan lumba perahu atau regata di negeri ini dilihat mampu memperkukuh dan mengeratkan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran sukan berkenaan yang semakin popular bukan sahaja merapatkan hubungan sesama masyarakat, bahkan juga mampu meningkatkan pendapatan rakyat tempatan.

“Penganjuran sukan regata ini seakan-akan sudah menjadi trend sejak 3 tahun lalu. Semua tempat ingin anjurkan regata. Oleh itu, satu pendekatan baharu perlu dilakukan dalam membantu dan menjayakan penganjuran sukan ini memandangkan ianya memerlukan kos yang agak tinggi,” jelasnya ketika merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2025 di Tebingan Sri Aman, pada Sabtu.
Beliau berkata, belanjawan tahun 2026 bakal dinilai semula mengikut kesesuaian dan keperluan jika kerajaan negeri ingin menjayakan penganjurkan Sirkit Regata.
“Sirkit Regata berpotensi menjadi sebahagian daripada suntikan ekonomi negeri, dengan kerajaan akan menilai dan mengkaji semula Belanjawan 2026 agar acara ini dapat dilaksana secara berterusan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari menambah, Sri Aman dilihat berpotensi menjadi satu kawasan tumpuan menerusi sistem pengairan moden dalam industri pertanian.
Tegasnya, Kerajaan Negeri perlu membangunkan sistem pengairan moden selari dengan teknologi baharu agar Sri Aman mampu menjadi lokasi jelapang padi negeri seterusnya peneraju dalam aktiviti pengeluaran padi agar tidak terlalu bergantung dengan negara luar.
Foto: Pejabat Residen Bahagian Sri Aman


