Malaysia kutuk serangan dron terhadap Global Sumud Flotilla di Tunisia

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dron terhadap kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF) di Tunisia, dengan menyifatkannya sebagai tindakan pengecut yang mencabuli undang-undang antarabangsa serta usaha mengekang misi kemanusiaan ke Gaza.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, serangan berkenaan jelas bertujuan menakut-nakutkan serta melemahkan misi aman yang digerakkan bagi memecahkan kepungan Israel di Gaza.

“Serangan ini merupakan tindakan bacul, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa dan langsung tidak menghormati nilai sejagat.

“Ia juga merupakan percubaan untuk menghalang serta menakut-nakutkan misi aman yang bertujuan menyampaikan mesej solidariti dunia kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi mengesahkan bahawa tiada aktivis Malaysia terlibat dalam insiden tersebut dan kesemua mereka dilaporkan selamat berada di Tunisia.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada Datuk Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery selaku Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center di Tunisia.

Fahmi turut memaklumkan bahawa Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia akan mengaktifkan Malaysia Flotilla Mission Media Coordination Center di Pusat Gudang MAPIM, Sepang.

Jelasnya, Kementerian Komunikasi bersedia memberi bantuan sewajarnya, khususnya berkaitan operasi pusat koordinasi media tersebut.

Misi GSF membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut mengecam serangan rejim Zionis di Doha, Qatar. Menurut Fahmi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan tegas mengecam serangan berkenaan yang disifatkan sebagai percubaan untuk menggagalkan mediasi dan rundingan ke arah menamatkan genosid di Gaza.

Pada Selasa, Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan, Qatar mengecam serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha, dan menyifatkannya sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta ancaman serius terhadap keselamatan rakyat Qatar dan penduduk lain.

Related Posts

Netizen kagum PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

KETEGASAN dan ketenangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan konflik Gaza, Israel dan Iran dalam satu wawancara bersama stesen televisyen India, Thanti TV baru-baru ini mendapat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan transit bagi sebarang penghantaran kargo yang menyokong atau menyumbang kepada operasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Netizen kagum PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

Netizen kagum PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat

Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat