IPOH – Polis menahan seorang wanita tempatan selepas bertindak memanjat pentas utama dan cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025 di hadapan Dewan Bandaran, di sini, pagi Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, insiden berlaku kira-kira jam 8.20 pagi sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak berkumandang, ketika baginda Sultan berada di pentas utama menyempurnakan acara rasmi.
“Suspek berusia 41 tahun naik ke pentas melalui bahagian tepi sebelum berjaya dihalang dan ditahan anggota keselamatan yang bertugas.
“Dia ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan sejarah rawatan psikiatri, selain masih berada di bawah pengawasan pakar perubatan.
Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan individu kenamaan.

Insiden berlangsung sekitar 40 saat itu membuatkan pengunjung yang hadir terkejut dan terpinga-pinga.
Wanita memakai kemeja dan seluar hitam tersebut pada awalnya berdiri di barisan belakang di pentas utama sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri.
Dia kemudiannya dilihat menarik serta cuba memeluk baginda dari arah belakang.
Terdapat sebahagian pengunjung yang hadir menganggap bahawa insiden tersebut sebagai satu gimik persembahan, namun menyedari ia kejadian sebenar.




