KEMAMAN – Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Komuniti MADANI Kampung Gong Limau menganjurkan konvoi bermotosikal dari Kampung Gong Limau, Kemaman menuju Pulau Kekabu, Marang.
Konvoi diketuai kenderaan Jabatan Penerangan Daerah Kemaman dengan penyertaan lebih 40 motosikal, selain kereta dan pacuan empat roda yang melalui jalan pantai negeri Terengganu.
Penolong Setiausaha Komuniti MADANI Kampung Gong Limau, Ain Kenangan berkata, perjalanan konvoi hari ini berjalan lancar dengan kawalan trafik yang baik daripada pihak polis.
“Kami amat berterima kasih atas kerjasama pihak polis yang membantu melancarkan perjalanan. Syabas diucapkan kepada mereka,” katanya.
Penasihat Komuniti MADANI Kampung Gong Limau, Nazri Mohd Yusoff berkata, program julung kali itu berjaya menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta.
Sepanjang perjalanan, Jabatan Penerangan memainkan lagu patriotik manakala peserta mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing.
“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia mampu memupuk rasa cinta negara selain mengeratkan hubungan komuniti,” ujarnya.
Konvoi kemerdekaan ini dianjurkan Komuniti MADANI Kampung Gong Limau dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Kemaman.