
KUCHING – Sarawak melakar sejarah baharu apabila menjadi lokasi pertama penubuhan Pejabat Serantau dan Korporat Affin di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pusat pertumbuhan kewangan serantau.
Majlis perasmian cawangan baharu Affin di Hikmah Exchange disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Selasa.
Menurut beliau, langkah Affin membuka pejabat utama di Kuching membuktikan keyakinan terhadap potensi ekonomi Sarawak yang semakin berkembang pesat.
“Kita memerlukan institusi kewangan yang memahami keutamaan rakyat dan dekat dengan komuniti. Kini, keputusan penting boleh dibuat di Kuching tanpa perlu bergantung kepada pusat luar, sekali gus memastikan keperluan rakyat kita dipenuhi dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.
Pejabat serantau tersebut menghimpunkan tiga entiti utama iaitu Affin Bank, Affin Islamic dan Affin Hwang Investment Bank. Langkah ini memberi akses terus kepada khidmat nasihat, pelaburan dan perbankan korporat yang lebih menyeluruh kepada komuniti perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sarawak kini bukan sahaja menjadi hab kerjasama pelbagai sektor, malah turut melonjak sebagai pusat pertumbuhan kewangan baharu. Dengan kehadiran Affin, perniagaan tempatan tidak lagi perlu mencari perkhidmatan kewangan di luar negeri.
Affin turut mengukuhkan jalinan strategik melalui kerjasama dengan MUFG Bank (Malaysia) Berhad, iaitu bank kelima terbesar di Asia. Usaha sama ini dijangka memperluas peluang dalam bidang Kewangan Islam, Kewangan Hijau dan Transformasi Digital, sekali gus membuka akses baharu kepada pasaran global untuk usahawan dan pelabur Sarawak.
“Bagi Sarawak, ini adalah pintu masuk ke pasaran antarabangsa yang memberi ruang lebih luas kepada pengeksport, pelabur dan usahawan untuk bersaing di peringkat serantau dan global,” jelas Abang Johari.
Seiring pembukaan cawangan baharu itu, Affin turut melancarkan ‘Kad Borneo’ yang diyakini mampu memperkukuh sokongan terhadap ekonomi tempatan.
Premier berkata, kad tersebut menawarkan penyelesaian kewangan fleksibel dengan ganjaran dan promosi menarik yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Kad Borneo ini mencerminkan komitmen Affin untuk menyokong keterangkuman serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri,” tambahnya.
FOTO: Pejabat Premier Sarawak




