
KERAJAAN wajar menangguhkan dahulu pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) di Parlimen bagi memberi ruang kepada proses libat urus yang lebih menyeluruh dan telus.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, penangguhan itu bukan bermakna kerajaan tunduk kepada tekanan pembangkang, tetapi kerana mahu memastikan RUU ini disokong fakta, kefahaman dan libat urus yang telus.
Tegasnya, RUU PSB bukan sekadar undang-undang teknikal. Ia menyentuh aspek kehidupan rakyat di bandar meliputi tempat tinggal, nilai hartanah, struktur sosial dan masa depan keluarga.
“Kena sabarlah sedikit, saya percaya langkah penangguhan adalah tindakan bijaksana kerana proses libat urus boleh dilakukan melibatkan semua pihak termasuk pembangkang. Saya pasti ramai juga Ahli Parlimen termasuk daripada blok kerajaan yang belum betul-betul memahami intipati sebenar RUU PSB ini.
“BN sendiri pun saya difahamkan, TImbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memanggil semua Ahli Parlimen BN untuk diberikan pencerahan dan penjelasan mengenai RUU yang akan dibahaskan ini. Ia perlu diberi kefahaman agar memudahkan Ahli Parlimen berbahas sekali gus menyokong RUU PSB ini.
“Maka, adalah wajar dan perlu untuk kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati, menyantuni pandangan semua pihak dan memperhalusi setiap perincian agar tidak dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan politik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, penangguhan RUU PSB daripada dibentangkan di Parlimen ini juga dapat mematahkan usaha pembangkang yang akan menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk memburukkan Kerajaan MADANI selain menghasut rakyat membenci Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sejak awal, pembangkang dilihat cuba menjadikan RUU PSB ini sebagai ‘peluru politik’ untuk menyerang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tanpa memahami kandungan sebenar, mereka memutarbelitkan fakta kononnya kerajaan mahu rampas tanah, gusar hak Melayu bakal tergadai dan rakyat miskin bakal dihalau.
“Pembangkang tidak perlu mencetus panik. Jika benar mereka memperjuangkan rakyat, maka duduklah di meja rundingan dan beri pandangan, bukan menyalak dari luar dewan demi mencipta persepsi buruk.
“Padahal kerajaan sendiri telah memberi jaminan bahawa RUU PSB tidak akan menyentuh tanah rizab Melayu atau melibatkan pengambilan paksa tanpa pampasan sewajarnya. Bahkan objektif utama RUU ini adalah memperbaharui kawasan perumahan lama yang uzur, demi memberi kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat.
“Jadi sesuatu dasar besar seperti RUU PSB perlu dilihat secara mendalam, bukan tergesa-gesa atau emosional,” katanya.
Hakikatnya, Azhar menjelaskan, RUU PSB adalah usaha berani Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat yang sudah berlarutan berdekad. Namun seperti biasa pembangkang lebih rela melihat rakyat terus tinggal dalam bangunan usang, sehingga tergamak menjadikannya sebagai modal politik.
“Pembangkang kalau boleh, biar rakyat hidup susah supaya mudah dihasut dengan emosi dan sentimen. Mereka tidak suka usaha kerajaan nak selamatkan rakyat daripada duduk dalam flat reput, infrastruktur uzur, kawasan terbiar. Namun rakyat jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang ini.
“Pembangkang dilihat sengaja memanipulasi isu RUU PSB untuk menimbulkan kebencian terhadap kerajaan. Rakyat disarankan untuk tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas ini dan sebaliknya memahami tujuan sebenar RUU PSB yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Bagi saya, RUU PSB memerlukan ketenangan, bukan kegopohan. Ia bukan senjata politik, tapi pelan besar untuk masa depan bandar-bandar Malaysia. Jika ia diperhalusi secara inklusif, dengan hasrat yang jernih, maka ia akan jadi satu lagi legasi Kerajaan MADANI untuk membina semula dengan hikmah.
“Sementara itu, sabarlah. Kebenaran akan menewaskan manipulasi,” katanya.




