Dana tambahan RM100 juta, Malaysia akan beri tumpuan kepada pembangunan semula Gaza

PUTRAJAYA – Peruntukan tambahan RM100 juta yang diumumkan kerajaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza akan memberi tumpuan utama kepada usaha pembangunan semula wilayah itu yang musnah akibat perang genosid rejim Israel.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan yang diambil dalam memberi sumbangan kepada umat Islam di Gaza pada kali ini berbeza daripada sebelumnya yang lebih menekankan bantuan makanan.

Menurut beliau, pengalaman lalu menunjukkan banyak bekalan makanan terpaksa terbazir ekoran sekatan keras rejim Zionis yang langsung tidak membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza.

“Dua tahun Iepas, sekitar Oktober dan November 2023, kita berjaya mengusahakan sumbangan bersama pihak swasta, bagaimanapun banyak bekalan makanan yang disediakan terbazir akibat sekatan rejim Zionis yang langsung tidak membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza.

“Kali ini fokusnya mungkin berbeza iaitu ke arah usaha membangunkan semula Gaza dan saya percaya ia boleh dilakukan dengan kerjasama rakan antarabangsa termasuk Jepun,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, pada Isnin.

Turut hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, kerajaan juga memberikan jaminan bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah berubah.

Malah, beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, perkara itu dapat dibuktikan dan diperkukuhkan dengan dana tambahan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa pendirian Malaysia tentang kemerdekaan Palestin tidak berubah dan tidak ada prasyarat, ia tidak bergantung kepada keadaan,” katanya.

Pada Ahad, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

Perdana Menteri berkata, dana itu tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan Kerajaan MADANI dua tahun lalu, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.

Menurut beliau, bantuan tambahan itu amat diperlukan rakyat Palestin berikutan bekalan makanan dan perubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka, akibat sekatan dan kekejaman Israel.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru lebih banyak syarikat besar dan korporat menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin, selain belajar daripada nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

Related Posts

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PENGLIBATAN beberapa tokoh politik dalam kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan didakwa hanya memburukkan lagi keadaan dan berisiko menjejaskan kemuliaan institusi Raja serta Undang di negeri berkenaan. Pemerhati politik, Ahmad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Surau Ad-Dhuha lokasi Outreach Komuniti Sungai Lembing

Surau Ad-Dhuha lokasi Outreach Komuniti Sungai Lembing

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka