
KOTA KINABALU – Lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir ke Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung serentak pada 31 Ogos ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, acara pada sebelah pagi akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens berhadapan Hotel Promenade, manakala sambutan Hari Sabah pula pada sebelah malam di Padang Merdeka.
“Lokasi di Jalan Tun Fuad Stephens dipilih kerana kawasannya luas dan menjadi pusat tumpuan utama.
“Pada waktu malam, acara sambutan Hari Sabah akan diteruskan di Padang Merdeka sebagai kesinambungan kepada perarakan pagi,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, sebanyak 157 kontinjen melibatkan 10 kategori termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan beruniform, NGO serta agensi kerajaan dan swasta akan mengambil bahagian dalam perarakan tahun ini.
Lebih menarik, buat pertama kali sebuah kontinjen penunggang skuter seramai 50 orang akan turut serta dengan formasi khas, selain pertunjukan kebudayaan khas oleh Lembaga Kebudayaan Sabah yang sentiasa menjadi acara paling ditunggu-tunggu.
Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 berkata, majlis akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
“Tun Musa dijadualkan tiba pada jam 7.30 pagi untuk memeriksa perbarisan sebelum acara menaikkan bendera, bacaan Rukun Negara dan atur cara rasmi lain seperti lazimnya.
“Kebiasaannya orang ramai sudah memenuhi kawasan sejak pukul 6 pagi. Saya percaya tahun ini sambutannya akan tetap meriah dan tidak jauh berbeza daripada sebelumnya,” katanya.
Sehubungan itu, Masidi menasihati orang ramai yang ingin hadir agar keluar lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.






