CRISTIANO Ronaldo akan kekal lebih lama di Hong Kong selepas membantu Al-Nassr menewaskan Al-Ittihad 2-1 pada separuh akhir Piala Super Saudi di Stadium Hong Kong, malam tadi.
Perlawanan seimbang berubah pada minit ke-61 apabila Ronaldo meluru menyambut hantaran Nawaf Boushal sebelum menghantar bola mudah buat Joao Felix menjaringkan gol sulungnya bersama kelab.
Gol itu pada mulanya dibatalkan kerana ofsaid, tetapi selepas semakan VAR ia disahkan dan Ronaldo meraikannya dengan penuh semangat.
Al-Nassr akan menentang pemenang antara Al-Ahli dan Al-Qadsiah pada aksi final, Sabtu ini.
Pasukan bimbingan Luis Castro bermula garang apabila Sadio Mane melepasi benteng lemah Hamed Al-Shanqiti untuk membuka jaringan seawal minit ke-10.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama selepas Steven Bergwijn menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Situasi Al-Nassr bertambah sukar apabila Mane dilayangkan kad merah pada minit ke-25 kerana terjahan keras ke atas penjaga gol muda lawan itu.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Al-Nassr tetap mendominasi permainan.
Ronaldo yang berusia 40 tahun tetap menjadi tumpuan utama, walaupun gagal menyudahkan beberapa peluang termasuk sepakan percuma pada masa tambahan babak pertama dan percubaan yang terkena tiang pada minit akhir.
Kehadiran 30,653 penonton – yang rata-rata memakai jersi Ronaldo – membangkitkan suasana meriah walaupun terdapat banyak kerusi kosong.
Sorakan padu buat kapten Portugal itu bergema setiap kali dia menyentuh bola.
Detik penting hadir apabila umpanannya membawa kepada gol kedua Felix, sebelum Bento memastikan kemenangan dengan menyelamatkan tandukan lewat Awad Aman.
Ronaldo dikeluarkan pada minit akhir dan menerima tepukan gemuruh sebagai wira perlawanan.



