
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan menggubal satu akta khusus berkaitan pendidikan awal kanak-kanak bagi memastikan kawal selia yang menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan dalam aspek pendidikan awal negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah ini selari dengan perancangan mewajibkan pendidikan awal kanak-kanak pada usia lima tahun seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menurut beliau, KPM turut merancang untuk memperkenalkan Kurikulum Prasekolah 2026, yang berteraskan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027.
Kurikulum prasekolah kebangsaan tersebut akan dijadikan mandatori kepada semua institusi pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.
“Kurikulum prasekolah itu menekankan pembentukan sahsiah, keyakinan diri, nilai kasih sayang dan daya tahan melalui pendekatan berasaskan pengalaman yang sesuai dengan tahap umur kanak-kanak.
“Bagi menjayakan perkara ini, penguatkuasaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) akan diperkukuhkan,” katanya ketika menggulung usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi memastikan pelaksanaan ini berjaya, KPM akan memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut memaklumkan bahawa usaha peluasan akses kepada pendidikan prasekolah turut giat dilaksanakan.
Pada tahun 2024, sebanyak 134 kelas baharu ditambah dan sebanyak 150 kelas lagi akan ditambah pada tahun 2025.
“Sehingga Jun lalu, sebanyak 129 kelas prasekolah baharu dibuka di pelbagai institusi termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Bagi 2026, KPM menyasarkan tambahan 250 kelas lagi. Usaha peluasan ini dilaksanakan di sekolah dan institusi KPM yang mempunyai infrastruktur sesuai, sekali gus memberi lebih ramai kanak-kanak peluang mendapat pendidikan awal secara percuma,” katanya.
Tambahnya, bagi tahun 2026, kementerian menyasarkan penambahan sebanyak 250 kelas prasekolah.
Penambahan ini akan dilaksanakan di sekolah dan institusi yang mempunyai infrastruktur sesuai di bawah seliaan KPM, sekali gus memberikan lebih banyak peluang kepada kanak-kanak untuk mendapat pendidikan awal secara percuma.
Sementara itu, menyentuh mengenai kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi (IPT), Fadhlina menjelaskan bahawa kadar penerimaan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke IPT adalah sangat tinggi, iaitu antara 80 hingga 90 peratus.
Katanya, KPM komited dalam memastikan STPM terus diiktiraf sebagai kelayakan prauniversiti bertaraf antarabangsa.
“Dengan jumlah kemasukan pelajar sekitar 50,000 hingga 55,000 orang setiap tahun, pelbagai langkah sedang dan akan terus dilaksanakan bagi menarik minat lepasan SPM, khususnya melalui Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030.
“Pelan itu memberi tumpuan kepada lima fokus utama, iaitu penjenamaan imej, peningkatan infrastruktur, penambahbaikan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, serta kurikulum yang setara dengan piawaian antarabangsa seperti A-Level,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KPM merancang untuk membina lebih banyak Kolej Tingkatan Enam baharu lengkap dengan kemudahan moden supaya laluan ini menjadi lebih berdaya saing dan kompetitif.
Pada masa ini, terdapat sebanyak 635 Pusat Tingkatan Enam di seluruh negara yang merangkumi Kolej Tingkatan Enam (Mod 1), Pusat Tingkatan Enam Mod 2, dan Pusat Tingkatan Enam Mod 3.





