JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang memperhalusi pelaksanaan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam, termasuk mempertimbangkan cadangan untuk membuka peluang kepada penjawat awam muda memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, melalui dasar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu, JPA dijangka memberi tumpuan terhadap aspek merit dalam pelantikan penjawat awam.
“Dasar ini memberi penekanan serupa seperti mana dilaksanakan negara jiran iaitu Singapura melalui program kepimpinan perkhidmatan awamnya yang memberi peluang dan laluan pantas kepada penjawat awam muda.
“Pelaksanaan masih diperincikan lagi dan saya kira JPA mengambil perkara ini dan perlu dipertimbangkan dengan sangat teliti. Sudah tentu mana-mana yang berkaitan merit ini akan diberi tumpuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan membuka peluang kepada penjawat awam muda dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) seperti di Singapura, di mana kebanyakan jawatan tersebut dipegang oleh individu berusia dalam lingkungan 40-an.
Selain itu, Dr Zaliha berkata, dasar itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, laluan kerjaya yang jelas serta budaya kerja cemerlang, dengan penekanan khusus kepada dua jenis bakat iaitu pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang dan berkemampuan melaksanakan tanggungjawab di gred jawatan lebih tinggi.
Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi) mengenai pemberian bantuan kepada penjawat awam, beliau berkata, sebarang cadangan, termasuk bantuan sementara dan sokongan logistik, perlu mengambil kira kemampuan fiskal kerajaan.
Katanya, ia juga mengambil kira soal keberkesanan dasar dan kesaksamaan antara penjawat awam di seluruh negara.
“Namun saya kira perkara itu masih lagi dibincangkan dengan teliti. Jika ada sebarang perkara baharu ia akan diberitahu,” katanya.
Dr Zaliha turut memaklumkan bahawa kerajaan telah melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai Disember 2024 bagi membantu penjawat awam.
Menurut beliau, kajian awal SSPA mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan kos sara hidup, terutama bagi penjawat awam yang bertugas di kawasan seperti Pulau Langkawi.
Penjawat awam yang memilih SSPA menerima kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, iaitu lapan peratus bermula 1 Disember 2024 dan tujuh peratus lagi bermula 1 Januari 2026.
“Malah, kerajaan memberikan Bayaran Insentif Awal berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 atau gred 15 di bawah SSPA dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Sementara bayaran RM1,000 diberikan kepada pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Bayaran ini dibuat secara sekali gus pada Februari 2024.
“Sehubungan itu, langkah kenaikan gaji berstruktur melalui SSPA serta pemberian bayaran insentif awal tersebut meningkatkan kuasa beli penjawat awam secara menyeluruh,” katanya.




