PUTRAJAYA – Pendakwaan dan hukuman maksimum di bawah undang-undang sedia ada perlu segera dikenakan ke atas pengkhianat yang sanggup menggadaikan kedaulatan negara hingga membenarkan rasuah serta penyeludupan berlaku di Malaysia.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berpandangan, hukuman yang lebih berat perlu dilaksana, setimpal dengan kesan pengkhianatan sehingga memberi ancaman terhadap keselamatan negara.
Menurut beliau, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) yang berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di selatan tanah air.
“Kes ini bukan sekadar kes rasuah biasa, ia adalah pengkhianatan terhadap sumpah, amanah dan keselamatan negara. Mereka yang sepatutnya mempertahankan kedaulatan tanah air sanggup menjual maklumat operasi ketenteraan demi keuntungan peribadi.
“Perbuatan itu adalah satu bentuk pengkhianatan yang paling hina dan tidak boleh dimaafkan. Tindakan pantas dan tegas membuktikan bahawa tiada sesiapa pun kebal daripada undang-undang, walau setinggi mana pangkat dan pengaruh mereka,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Sementara itu, Jais berpendapat, keperluan buat melakukan pembersihan menyeluruh dalam ATM menerusi audit integriti dan mekanisme pemantauan yang lebih ketat, khususnya di bahagian sensitif seperti risikan dan kawalan sempadan.
“Kerajaan juga dituntut mengukuhkan latihan integriti dan patriotisme untuk memastikan setiap anggota pasukan keselamatan meletakkan negara di atas segala kepentingan peribadi.
“MCW komited untuk terus memantau kes ini sehingga keadilan ditegakkan sepenuhnya.
“Kepada mana-mana pihak dalam sektor keselamatan atau penguatkuasaan yang bersekongkol dengan jenayah, ingatlah, pengkhianat negara tidak akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.
Dalam operasi dikenali sebagai Ops Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan ACTS, lima pegawai kanan tentera ditahan di sekitar Lembah Klang.
Turut ditahan lima orang awam, termasuk seorang warga Indonesia dengan semua mereka berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun.
Difahamkan, pegawai tentera itu adalah mereka yang ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan, tetapi mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan itu sejak lima tahun lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menerima banyak maklumat daripada Istana Johor berhubung isu penyeludupan di selatan tanah air negara.
Katanya, maklumat berkenaan disalurkan sendiri Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang akhirnya membawa banyak kejayaan operasi yang dijalankan pihaknya



