
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari selepas enggan mematuhi arahan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
Insiden itu berlaku ketika sesi penggulungan apabila Ahmad Marzuk beberapa kali mencelah ucapan yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Alice sebelum itu telah mengarahkan Ahmad Marzuk supaya keluar dari dewan selama 30 minit, namun beliau terus bercakap meskipun mikrofon telah dimatikan.
“Tadi saya kata 30 minit, tetapi YB masih terus bercakap tanpa kebenaran. Mahu dua hari?” soal Alice Lau yang turut mendapat sokongan daripada beberapa ahli dewan lain.
Susulan itu, beliau membuat keputusan untuk menggantung Ahmad Marzuk selama dua hari, sebelum Ahli Parlimen itu diiring keluar dari Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan tindakan disiplin dikenakan terhadap mana-mana ahli yang ingkar.
Langkah tersebut, menurut Alice, penting bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.






