PASIR SALAK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menaruh harapan tinggi agar cadangan menyerap kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke jawatan tetap dapat dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2026 nanti.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, cadangan itu kini di peringkat perbincangan dan perlu diputuskan oleh Kabinet memandangkan ia melibatkan implikasi terhadap agensi serta kementerian lain.
“Kita mahu perkara ini diselesaikan segera kerana ia berpotensi memberi manfaat besar tanpa menimbulkan polemik.
“Sebaik-baiknya, ia diumumkan dalam Belanjawan 2026,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Santunan Desa bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kakitangan kontrak KEMAS yang berstatus ‘Vontract of Service’ sudahpun mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Jika penjawatan kontrak ini diserap sebagai tetap, ia tidak melibatkan perjawatan baharu atau perbelanjaan tambahan.
“Malah, ia boleh menjadi penanda aras untuk menukar jawatan kontrak lain kepada jawatan tetap tanpa pencen,” katanya.

