
KUCHING – Program Hari Mesra Warga Emas Sihat & Ceria yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Puncak Borneo semalam bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti, malah medan terbaik memberi kesedaran kepada warga emas mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, menegaskan warga emas perlu terus aktif agar kehidupan mereka lebih sihat, ceria dan berkualiti.
“Badan yang sihat dan minda yang cerdas mampu menjamin kesihatan berpanjangan. Kita lihat di negara Jepun dan China, warga emas mereka sangat aktif dengan aktiviti seperti senaman pagi, tai chi dan ‘brisk walk’, justeru tidak hairan usia mereka lebih panjang berbanding warga emas di negara lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan majlis Hari Mesra Warga Emas Sihat & Ceria’ @ Pusat Aktiviti Warga Emas Puncak Borneo pada Sabtu.
Beliau turut menekankan kepentingan aktiviti membaca kerana ia dapat menguatkan daya ingatan sekali gus mengurangkan risiko dementia yang sering kali dialami golongan warga emas.
Menurut Willie, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) amat penting sebagai pusat komuniti untuk warga emas berkumpul, beriadah dan saling menyokong antara satu sama lain.
“PAWE bukan sahaja tempat untuk berinteraksi, tetapi juga wadah bagi warga emas mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat yang mengekalkan mereka kekal aktif dan dihargai,” jelasnya.
Program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sarawak dengan kerjasama PAWE itu menghimpunkan sekitar 50 hingga 100 peserta.
Ia diisi dengan senamrobik, permainan tradisional, sukaneka serta taklimat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NADI mengenai kemudahan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Health Benefit.
Sementara itu, JKOM yang ditubuhkan pada 1 Februari 2021 berperanan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat.
Timbalan Pengarah JKOM Zon Sarawak yang mewakili Pengarah JKOM Zon Sarawak, Mohamad Sahrizan Putit, berkata usaha ini selaras dengan semangat MADANI yang mementingkan perpaduan tanpa mengira agama dan kaum.
“Warga emas adalah aset masyarakat yang kaya dengan pengalaman dan nilai murni. Justeru, kita harus menghargai sumbangan mereka serta memastikan kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial sentiasa terpelihara,” katanya.






