
SANDAKAN – Ribuan orang membanjiri pekarangan Harbour Mall Square, Sandakan, pada Jumaat bagi menyatakan solidariti dan menuntut keadilan berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Penganjur himpunan di bawah Sekretariat Solidariti Zara, Mohamad Kadir Abdul Jalil, berkata perhimpunan itu diadakan bagi menunjukkan simpati kepada keluarga mangsa dan memberi sokongan terhadap usaha pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Kami di sini menyatakan solidariti dan simpati kepada Allahyarhamah adik Zara.
“Kami tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah atau tidak baik.
“Kami hanya mahu kebenaran dan keadilan buat adik Zara. Itu fokus kami malam ini.
“Kami mohon orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan,” katanya ketika ditemui media selepas selesai Aksi Vigil @ Sandakan #JusticeForZara.

Mohamad Kadir turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Sandakan atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran program itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, yang turut hadir berkata, mesej utama yang mahu disampaikan kepada kerajaan ialah keperluan menjalankan siasatan secara terperinci dan telus.
“Biarpun saya dari pihak kerajaan, saya mahu kebenaran ditemui.
“Siasatan perlu dilakukan secara mendalam kerana ia melibatkan nyawa. Saya selalu berfikir, jika perkara ini berlaku kepada ahli keluarga atau anak-anak kami, ia bukan sesuatu yang patut berlaku.
“Buat masa ini, keluarga masih belum menerima hasil siasatan yang munasabah.
“Oleh itu, saya menggesa pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci.
“Saya difahamkan mayat arwah akan digali semula untuk siasatan lanjut,” katanya.

Vivian turut memuji kehadiran rakyat Sabah, khususnya warga Sandakan, yang disifatkannya sebagai tanda mesej tegas kepada kerajaan agar kebenaran didedahkan.
“Kami tidak mahu menjadi pihak yang menyebarkan maklumat palsu.
“Jadi, tanpa fakta yang benar, jangan kongsi buat masa ini,” tambahnya.


