
KOTA KINABALU – “Anak kita tidak boleh balik lagi (hidup) tapi kita mahu keadilan,” demikian luahan sebak ibu kepada Allahyarham Muhd Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang meninggal dunia dipercayai akibat dibuli di asrama kolej itu pada Mac tahun lalu.
Luahan secara terbuka itu dibuat di hadapan ribuan peserta yang hadir Himpunan Solidariti #JusticeForZara di Menara Jam, Jalan Teratai pada Jumaat sehingga mengundang sebak dan hiba.
“Apa yang ibu Zara rasa, saya rasa. Kita hantar anak kita ke sekolah untuk masa depan dia orang kan?
“Tapi bila kita nampak anak kita terbujur kaku …… di lantai, saya tak tahu mahu cakap apa,” kata Siti.
Jelasnya, dia menghantar anaknya ke sekolah agar kelak anaknya dapat membantu kehidupan mereka memandangkan dia membesarkan anaknya itu seorang diri.
“Sejak arwah lapan bulan sayalah ibu, sayalah bapa. Saya ibu tunggal… Bila saya dapat tahu pasal Zara ni, memori anak saya tu timbul.
“Tiga hari ka lepas hantar ke sekolah, cikgu telefon anak kita terbujur kaku. Saya tak boleh cakap apa,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menzahirkan penghargaan kepada IPD Lahad Datu atas kecekapan menahan dan membawa ke muka pengadilan beberapa pelajar KVLD yang terlibat dipercayai membuli mangsa.
“Tidak seperti adik ini, kita tidak tahu siapa (pembunuh Zara). Kita doakan keadilan untuk dia,” ujarnya.
April tahun lepas, 13 remaja lelaki yang terlibat dalam kes kematian Nazmie diperintahkan untuk membela diri atas tuduhan membunuh.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.


