
KUCHING – Jambatan Sungai Bintangor secara rasmi diisytihar sebagai Jambatan Datuk Amar Juma’ani sempena nama arwah isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada masyarakat, khususnya di Satok.
Pengisytiharan tersebut diumumkan pada Majlis Perasmian Jambatan Sungai Bintangor yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg di tapak projek berkenaan malam Selasa.
Dalam ucapannya, Abang Johari meluahkan penghargaan tulus kepada masyarakat Satok yang telah mengenang jasa isterinya yang disifatkan sebagai tulang belakang perjuangan beliau sepanjang pernag menjadi wakil rakyat DUN Satok.
“Saya tidak teragak-agak mengucapkan terima kasih kepada rakyat Satok kerana telah menamakan jambatan ini sempena arwah isteri saya. Pemergiannya satu kehilangan besar, namun penghormatan ini sangat menyentuh hati saya dan keluarga,” katanya dalam nada sebak.
Almarhumah cukup sinonim dengan kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan secara senyap, namun memberi impak besar kepada masyarakat.
Antara legasi beliau ialah penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Satok, pembinaan Bangunan SABATI di Petra Jaya, serta mengaktifkan semula Persatuan Kebajikan Petra Jaya pada tahun 1993.
Beliau juga sering dilihat bergaul mesra dengan masyarakat, termasuk membeli barangan dapur di pasar bersama penduduk tempatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeru (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki menyifatkan penamaan jambatan tersebut sebagai simbol kasih sayang dan pengorbanan seorang wanita hebat yang banyak menyumbang dalam pembangunan masyarakat setempat.
“Kami yakin jambatan ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi juga lambang kasih, legasi dan perpaduan. Ia akan terus dikenang oleh rakyat Satok sebagai tanda penghormatan kepada Almarhumah,” katanya.
Majlis turut menyaksikan reaksi positif daripada penduduk tempatan yang berbangga dengan inisiatif tersebut, menyifatkan ia sebagai penghargaan yang wajar dan bermakna.
Jambatan sepanjang 114.34 meter itu dibina dengan reka bentuk cable-stayed ikonik, menampilkan elemen Keringkam, iaitu sulaman tradisional Melayu Sarawak sebagai lambang budaya dan warisan tempatan. Ia juga dilengkapi laluan pejalan kaki, lampu hiasan, dan landskap moden yang menjadikannya mercu tanda baharu di bandar raya Kuching.
Projek bernilai lebih RM50 juta itu turut menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan Kampung Bintangor Kecil yang kini dirancang sebagai sebahagian daripada Kuching Smart Green City, dengan sambungan terus ke Hikmah Exchange, Padang Pasir, dan stesen utama ART (Autonomous Rapid Transit) di Satok.
Jambatan Datuk Amar Juma’ani ini bukan sekadar laluan penghubung, tetapi kini menjadi lambang kasih, perpaduan dan penghormatan terhadap jasa seorang tokoh wanita yang amat dirindui oleh rakyat Sarawak.
Sebelum ini, Abang Johari mencurahkan khidmat bakti selama lebih empat dekad sebagai ADUN Satok, sebelum meneruskan langkah ke kawasan DUN Gedong yang berjaya dimenangi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.



