GISSCO unggul terajui legasi 50 tahun, pemegang Lesen Petronas 001 pertama negara

PETALING JAYA – Menandakan satu detik bersejarah dalam industri minyak dan gas negara, GISSCO Sdn. Bhd, syarikat Bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen Petronas 001, bakal menganjurkan Majlis Gala Jubli Emas ke-50 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 15 September depan.

Majlis penuh gemilang ini dijangka menghimpunkan lebih 400 tetamu, terdiri daripada pemegang taruh, rakan industri, warga kerja serta wakil media.

Acara ini bukan sahaja meraikan lima dekad pencapaian GISSCO, malah menzahirkan penghargaan syarikat terhadap individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya sejak 1975.

Pengarah Urusan Gissco, Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid berkata, sebagai peneraju utama dalam sektor minyak dan gas negara, syarikat itu bermula daripada perkhidmatan katering luar pesisir yang sederhana kepada penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal, pengurusan acara dan pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) yang terkemuka.

“Dianugerahkan sebagai pemegang Lesen Petronas 001 bukan sekadar satu keistimewaan – ia adalah legasi. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, khususnya Petronas, atas kepercayaan berterusan terhadap GISSCO selama ini.

“Sejarah penubuhan GISSCO pada tahun 1975 bermula dengan tekad dan kerja keras pengasasnya, Allahyarham Haji Mohammad Rashid Haji Mohd Fahmi, yang tidak pernah mengenal erti putus asa, berjuang demi mengekalkan kelangsungan syarikat di tengah cabaran industri. Keazaman inilah yang menjadi asas kekuatan GISSCO sehingga berkembang menjadi antara penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal, dan penyelesaian inovatif dalam sektor minyak dan gas negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Majlis Gala Jubli Emas ke-50 di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah GISSCO Umaira Mohammad Rashid dan Pengarah Operasi GISSCO, Shahrul Azni Shahruddin.

Beliau turut mengakui untuk terus kekal relevan dalam dunia digital dan landskap industri yang sangat kompetitif bukanlah satu tugas mudah.

Namun katanya, GISSCO mampu bertahan dan terus berkembang kerana asasnya adalah kerja berpasukan yang kukuh.

“Ini adalah kejayaan bersama daripada staf lapangan hingga kepimpinan pengurusan.

“Kami berharap pengiktirafan ini dapat membakar semangat generasi usahawan Bumiputera akan datang untuk terus menerajui sektor strategik negara dengan penuh jati diri dan integriti,” katanya.

Tambahnya, pelancaran logo baharu akan turut diadakan sebagai simbol transformasi korporat yang berterusan.

Kemuncak acara adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, yang mengiktiraf kesetiaan dan dedikasi warga kerja dari cawangan GISSCO di Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat Kuala Lumpur. Anugerah ini menghargai sumbangan individu yang telah memperkukuh asas kejayaan GISSCO sejak dahulu hingga kini.

Majlis juga akan disemarakkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Hattan, Dayang Nurfaizah, Mimi Fly dan Atilia, yang dijangka menghidupkan suasana malam penuh nostalgia dan penghormatan kepada legasi syarikat.

Lebih daripada sekadar sambutan, Gala Jubli Emas GISSCO adalah lambang perjalanan luar biasa sebuah syarikat 100 peratus Bumiputera — memperingati sejarah Lesen Petronas 001, memperkasakan bakat tempatan, memperkukuh inovasi dan memperluas impak tanggungjawab sosial. GISSCO kini bersedia untuk melangkah ke fasa baharu yang lebih dinamik, dengan komitmen terhadap kecemerlangan, integriti dan kebanggaan nasional.

Related Posts

Kerjasama erat Persekutuan, negeri pacu Sabah terima 40 peratus Bahagian FLNG

KALABAKAN – Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dijangka membolehkan Sabah menerima 40 peratus bahagian menerusi pelaksanaan projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di negeri ini. Ketua Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan kukuh pada separuh kedua tahun ini, disokong pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan serta asas ekonomi negara yang kekal berdaya…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRU16 wajar selepas rakyat rasai kesan pemulihan ekonomi – Hassan Karim

PRU16 wajar selepas rakyat rasai kesan pemulihan ekonomi – Hassan Karim

PH kaji kekalahan PRN, rangka strategi baharu

PH kaji kekalahan PRN, rangka strategi baharu

Projek Empangan Air RM450.5 juta ikut jadual, siap 2027

Projek Empangan Air RM450.5 juta ikut jadual, siap 2027

Pahang rekod kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur

Pahang rekod kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur

Trump tangguh rancangan serang Iran

Trump tangguh rancangan serang Iran

PMK 2026 himpun pelbagai agensi, mudahkan rakyat akses perkhidmatan

PMK 2026 himpun pelbagai agensi, mudahkan rakyat akses perkhidmatan