PETALING JAYA – Menyemarakkan semangat kemerdekaan dan keprihatinan terhadap golongan warga emas, GISSCO Sdn Bhd menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Kasih Merdeka: 50 Tahun GISSCO – Kasih & Bakti untuk Warga Emas’.
Sebagai syarikat Bumiputera pertama yang menerima Lesen 001 daripada Petronas, GISSCO mengadakan pelbagai aktiviti bersama 50 penghuni pusat jagaan warga emas, termasuk persembahan lagu-lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang, sambutan hari lahir istimewa, serta penyampaian sumbangan barangan keperluan dan wang tunai RM5,000.
Pengarah GISSCO, Umaira Mohammad Rashid berkata, program ini bukan sahaja memperingati sejarah syarikat, malah menekankan nilai kemanusiaan dan penghargaan terhadap sumbangan generasi terdahulu dalam membangunkan negara.
“Kasih sayang tidak mengenal usia. Warga emas bukan sekadar penerima, tetapi juga penyumbang kepada sejarah negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen GISSCO untuk terus memperkukuh tanggungjawab sosial korporat dengan sokongan industri dan komuniti, selari dengan visi syarikat menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Program ini bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan, mendorong kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan, serta memperkasa budaya prihatin melalui aktiviti kebajikan,” jelasnya.
Umaira berharap inisiatif ini menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk turut memupuk nilai kasih sayang dan kemasyarakatan, selaras dengan semangat kemerdekaan.






