PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa bumi kuat dilaporkan melanda luar pantai timur Kamchatka, Rusia.
Bagaimanapun, agensi kerajaan itu memaklumkan, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia susulan gempa bumi kuat yang melanda luar pantai timur negara tersebut.
Katanya, gempa pada 7,24 pagi ini waktu Malaysia berlaku pada jarak 107 kilometer (km) tenggara dari Petropavlovsk Kamchatskiy, Rusia dengan kedalaman 42km.
“Kejadian berlaku di 52.3 darjah Utara dan 159.6 darjah Timur dengan kedalaman 48km. Ia terjadi 96km dari Tenggara Petropavlovsk Kamchatskiy.
“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan setakat ini kepada Malaysia lanjutan daripada kejadian tersebut,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Terdahulu, Jepun dan AS keluar amaran gempa bumi di Rusia, seru orang ramai patuhi arahan pihak berkuasa.
Gempa bumi ini dilaporkan sebagai yang terkuat melanda kawasan tersebut sejak tahun 1952 apabila gegaran sekuat 9.0 magnitud menyebabkan kerosakan besar di Kamchatka dan menghasilkan gelombang tsunami setinggi 9.1 meter di Hawaii. Namun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian ketika itu.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku pada kedalaman cetek iaitu sekitar 19.3 kilometer.
Magnitud kejadian itu turut disemak semula daripada 8.0 kepada 8.8, diikuti satu gempa susulan berukuran 6.9 magnitud tidak lama selepas itu.
Pada masa sama, pihak berkuasa di Kamchatka juga turut memaklumkan gelombang tsunami setinggi tiga hingga empat meter telah dikesan melanda beberapa kawasan pantai di rantau tersebut.
Sementara itu, agensi meteorologi Jepun mengesahkan gelombang tsunami setinggi kira-kira 30 sentimeter telah tiba di bandar Nemuro, Hokkaido, di bahagian timur negara itu.
Susulan itu, amaran dan pemantauan tsunami telah dikeluarkan di seluruh rantau Pasifik termasuk Rusia, Jepun, Pantai Barat Amerika Syarikat dan Alaska, Hawaii, Filipina serta Indonesia.





