
KERAJAAN akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan pengendali dan pemandu bas susulan insiden kemalangan tragis yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan awal berhubung kejadian tersebut telah dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan kepada Jemaah Menteri, dan beberapa langkah penyelesaian sedang dirangka bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak berulang.
“Penguatkuasaan akan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab secara langsung, termasuk semakan menyeluruh terhadap aspek keselamatan yang melibatkan pengendali serta pemandu bas.
“Sebelum ini turut dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah besar saman tertunggak yang membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk bas.
“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan langkah penguatkuasaan yang lebih tersusun dan menyeluruh dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media mingguan di Parlimen, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah bahawa bentuk penguatkuasaan yang bakal dilaksanakan itu akan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala pelaksanaannya akan diselaraskan sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan.
“Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini, siasatan terhadap kes ini tidak hanya tertumpu kepada kemalangan membabitkan pelajar UPSI, malah turut diperluas kepada keseluruhan industri pengangkutan awam, khususnya melibatkan pengendali bas.
“Langkah ini penting bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa ditambah baik dan tidak menjejaskan nyawa penumpang,” katanya lagi.
Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan dijangka dimulakan dalam masa terdekat, dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada pihak Kementerian Pengangkutan.




