Penceramah hanya perlu akur peraturan Enakmen Pentadbiran Agama Islam P.Pinang

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling mudah untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah agama, asalkan penceramah mematuhi semua garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa agama.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, isu penceramah dihalang daripada menyampaikan kuliah tidak sepatutnya timbul sekiranya mereka akur terhadap peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Menurutnya, sebarang penganjuran ceramah atau pelantikan penceramah perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Pulau Pinang ialah negeri berdaulat dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Oleh itu, setiap ceramah agama mesti melalui saluran yang betul.

“Saya sendiri telah menghentikan kuliah penceramah tanpa tauliah sejak Oktober tahun lalu. Namun, selepas enam bulan, kuliah kembali berjalan lancar dengan sistem tauliah yang lebih teratur,” katanya ketika ditemui pada satu program rasmi hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang di Sunshine Mall.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan setiap permohonan tauliah akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran dan Kuliah, yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri, dengan keanggotaan termasuk wakil JHEAIPP dan tokoh agama.

“Jika seseorang itu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun mengajar atau pernah menjadi guru agama di negeri lain, mereka boleh diberi tauliah tanpa perlu hadir temuduga atau menduduki ujian bertulis.

“Namun syaratnya, mereka tidak terlibat dalam sebarang kontroversi dan mematuhi 13 garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya JHEAIPP mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan ceramah agama, manakala pejabat Timbalan Ketua Menteri hanya berperanan dalam merangka dasar dan polisi.

“Isu tauliah ini tidak sepatutnya dijadikan polemik. Dasar kita jelas dan prosedurnya mudah. Jika ikut saluran betul, tidak akan timbul masalah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tular melibatkan seorang pendakwah yang mendakwa dihalang daripada menyampaikan ceramah baru-baru ini, Mohamad menegaskan individu tersebut tidak memiliki tauliah dan gagal mengemukakan permohonan kebenaran khas seperti yang dikehendaki.

“Permohonan khas mesti dibuat oleh pihak masjid kepada JHEAIPP melalui Borang 3. Tetapi dalam kes ini, tiada permohonan dihantar. Jadi, tindakan penguat kuasa adalah mengikut prosedur,” jelas beliau.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pejabatnya mengeluarkan arahan untuk menghalang program ceramah tersebut.

“Saya terkejut apabila nama pejabat saya disebut. Arahan itu datang daripada pihak berkuasa agama, bukan saya. Dakwaan tersebut tidak berasas dan berbaur politik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin, yang dijadual berlangsung di Masjid Sembilang, Seberang Jaya pada malam Ahad, didakwa dibatalkan di saat akhir kerana isu tauliah.

Program yang sepatutnya diadakan selepas solat Maghrib itu dianjurkan bersama oleh Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) dan Masjid Sembilang, serta bertemakan “Iktibar dan Kesan Konflik Pemerintahan Saidina Usman”.

Wan Ji menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa penganjur memaklumkan bahawa program tersebut dibatalkan kerana dihalang oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Related Posts

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.57 bilion bagi memperkukuh pembangunan sektor kesihatan Sabah menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2026. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

KUANTAN – Polis Pahang mengesahkan satu kejadian rompakan berlaku di sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Genting Highlands dekat Bentong hari ini. Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok