P.Pinang mohon kerajaan teliti semula strategi rundingan mengenai tarif AS

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan diminta supaya meneliti semula strategi rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan cadangan pengenaan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu mengambil langkah segera bagi memastikan kepentingan negara serta industri berkaitan dilindungi.

“Apa yang kita lakukan sekarang mungkin tidak mencukupi. Kita perlu menyusun semula strategi dan berunding secara lebih berkesan serta tegas dengan AS.

“Kita mesti mampu mengemukakan hujah yang lebih kukuh. Kita berhutang kepada industri, pekerja dan masa depan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Penang Chip Design Academy di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, beliau dimaklumkan bahawa terdapat pengeluar yang sedang mempertimbangkan untuk berpindah dari Malaysia susulan ketidaktentuan yang berlaku.

Bagaimanapun, beliau menasihati syarikat terlibat agar mempertimbang semula keputusan tersebut kerana berpindah ke lokasi baharu juga belum tentu menjanjikan penyelesaian.

“Cabaran di tempat baharu mungkin lebih besar. Jadi lebih baik kita berdepan dan tangani cabaran yang ada di sini.

“Kita juga masih belum tahu keputusan akhir rundingan ini. Jadi mungkin lebih baik tunggu dan lihat dulu,” ujarnya.

Sementara itu Kon Yeow berkata, industri kini berada dalam keadaan tidak menentu susulan pengumuman tarif berkenaan namun berharap hasil rundingan akan memihak kepada Malaysia.

“Tarif ini hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos. Ia masih tertakluk kepada sebarang perubahan. Kita harap kerajaan berjaya capai penyelesaian yang baik.

“Kita akui, kadar 25 peratus adalah tinggi dan memang membebankan. Namun bukan semua industri atau subsektor terkesan secara langsung,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh daya tahan ekosistem industri sedia ada termasuk dari aspek penyediaan tanah, pembangunan bakat dan kelulusan pelaburan yang lebih pantas.

“Jika pelabur pilih Pulau Pinang, mereka boleh mulakan operasi dan eksport dalam tempoh 12 bulan. Ini salah satu kekuatan kita.

“Negara jiran mungkin dikenakan kadar tarif lebih rendah, tetapi kita perlu gunakan kelebihan daya saing yang ada untuk terus kekal relevan,” katanya.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Trump berkata, langkah itu perlu diambil untuk ‘melindungi industri tempatan Amerika Syarikat’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.

Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain iaitu Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.

Related Posts

Imigresen mohon orang ramai kesan wanita asal Semporna bantu siasatan

SEMPORNA – Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Generasi muda Malaysia berupaya jadi inovator bertaraf dunia – Rina

TAWAU – Generasi muda Malaysia berupaya muncul sebagai inovator bertaraf dunia dengan memperkukuh pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Imigresen mohon orang ramai kesan wanita asal Semporna bantu siasatan

Imigresen mohon orang ramai kesan wanita asal Semporna bantu siasatan

Generasi muda Malaysia berupaya jadi inovator bertaraf dunia – Rina

Generasi muda Malaysia berupaya jadi inovator bertaraf dunia – Rina

Kerajaan perhebat langkah perkukuh sistem agromakanan negara

Kerajaan perhebat langkah perkukuh sistem agromakanan negara

Slogan ‘Asalkan Bukan PH-DAP’ cetus politik berasaskan kelompok – Tajuddin

Slogan ‘Asalkan Bukan PH-DAP’ cetus politik berasaskan kelompok – Tajuddin

Trump umum akan serang Iran dalam tempoh 48 jam

Trump umum akan serang Iran dalam tempoh 48 jam

RMK13 fokus tingkat pendapatan, tangani fenomena ‘working poor’ – Menteri Ekonomi

RMK13 fokus tingkat pendapatan, tangani fenomena ‘working poor’ – Menteri Ekonomi