
KOTA KINABALU – Radio Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), UMSfm, mencipta sejarah dengan mengadakan siaran berkembar pertama bersama-sama dengan MediaLab Alliance Sdn Bhd di Subang Jaya sempena ulang tahunnya ke-15 pada 1 Julai lalu.
Pengurus Stesen UMSfm, Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata rancangan khas ini mencerminkan kerjasama strategik UMSfm dan MediaLab Alliance serta komitmen UMSfm terhadap penyiaran digital.
“Inisiatif siaran berkembar itu bukan sahaja sebagai simbolik ulang tahun penubuhan radio tersebut, bukti inovasi penyiaran boleh berlaku merentas geografi dan disiplin.
“Ini bukan sekadar pencapaian teknikal bagi sebuah radio kampus tetapi juga satu langkah strategik dalam memperkukuhkan jaringan industri.
“Sambutan ulang tahun itu juga mencerminkan pencapaian baik UMSfm sepanjang 15 tahun dan menjadi titik tolak kepada evolusi masa depan penyiaran kampus dalam landskap media digital,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Selasa.
Tambah Intan, pendekatan tersebut adalah kolaborasi inovatif pelbagai pihak yang lazim diterapkan dalam bidang seperti bandar pintar, penjagaan kesihatan, kelestarian dan pendidikan, selaras dengan status UMSfm sebagai ‘Living Lab’ sejak April 2023.
UMSfm disiarkan melalui 91.1fm dan platform digital Facebook serta TikTok yang bertemakan ’15 Tahun UMSfm: Menyatu Suara, Menjulang Ilmu’.
“Siaran khas itu menampilkan temu bual bersama Naib Canselor UMS dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di konti utama UMSfm, manakala studio satelit di Subang Jaya dihadiri wakil RTM dan MediaLab Alliance Sdn Bhd.
“UMSfm yang mula bersiaran sejak tahun 2010 kini dikendalikan oleh pasukan penerbit rancangan dan teknikal yang terdiri daripada Feria Lee, Norhazimah Radik, Khairil Fitri Abd. Karim dan Penolong Jurutera, Abd. Rahman Yusman Yusuf,” katanya.





