
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri mengumumkan tiga insentif berbeza khas buat kumpulan mahasiswa Johor yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang dibuka mulai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin berkata, insentif berkenaan terdiri daripada Skim Bantuan Pendaftaran (SBP), Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) dan Bantuan Laptop Siswa Johor.
Menurut beliau, pelajar yang ingin mendapatkan bantuan berkenaan boleh membuat permohonan bermula hari ini sehingga 30 Julai.
Katanya, ketiga-tiga insentif itu merupakan cetusan idea daripada kerajaan negeri sebagai usaha membantu kebajikan mahasiswa Johor melalui terma dan syarat yang ditetapkan.
“Bagi bantuan IMAJ, ia terbuka kepada semua anak kelahiran Johor atau yang telah menetap di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun. IMAJ menawarkan bantuan wang tunai bernilai RM200 dan dikreditkan melalui eWallet Touch ‘n Go yang diintegrasikan bersama Kad Siswa Johor (Kad Visa).
“Bantuan melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) ini diberikan secara one-off tanpa mengira jumlah pendapatan keluarga atau tahun pengajian yang sedang diduduki di mana-mana IPTA atau IPTS di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Menurut Aznan, bagi bantuan SBP bernilai RM500 pula, ia dibuka untuk mahasiswa baharu yang bakal melangkah ke IPTA dan IPTS.
“Kerajaan Johor melalui YPJ mengalu-alukan permohonan bagi SBP bernilai RM500, khas untuk mahasiswa anak Johor yang pertama kali mendaftar pengajian di institusi dalam negara.
“Bantuan ini adalah secara one-off untuk pelajar Tahun 1 (Semester 1) daripada keluarga B40 sahaja. Sama seperti kaedah IMAJ, insentif ini juga akan disalurkan secara terus ke dalam akaun Kad Siswa Johor yang telah diperkenalkan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, bantuan komputer riba pula merupakan usaha prihatin kerajaan negeri da
menyokong pelajar pengajian sepenuh masa di IPT awam dan swasta, khususnya pelajar Tahun 1 (Semester 1).
“Tawaran adalah terhad untuk pelajar IPTA dan IPTS golongan B40. Bagi pemohon yang berjaya, merekan akan dihubungi dengan penyerahan komputer riba dibuat melalui pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.
“Untuk makluman, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta untuk bantuan komputer riba kepada 1,000 mahasiswa daripada keluarga B40 dalam usaha memperkasakan pendidikan generasi muda menerusi Belanjawan Johor 2025,” ujarnya.
Katanya, proses pemilihan dan tapisan akan dilaksanakan ADUN kawasan pemohon berdasarkan kelayakan ditetapkan.
Untuk maklumat lanjut dan permohonan, orang ramai boleh mengimbas kod QR pada poster di Facebook atau menerusi pautan rasmi https://bantuan-ypj.com/portal/.





