Penduduk Gaza di ambang kematian akibat kehausan

AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berada di ambang kematian akibat kehausan susulan keruntuhan sistem bekalan air di wilayah itu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik UNRWA di Facebook, serangan berterusan oleh tentera Israel serta sekatan bahan api yang dilaksanakan sejak Mac lalu telah melumpuhkan sepenuhnya infrastruktur air di Gaza, lapor Anadolu.

“Penduduk Gaza berada di ambang maut akibat kehausan. Hanya 40 peratus daripada kemudahan pengeluaran air minuman masih beroperasi. Gaza kini berada di ambang kemarau yang dicipta oleh manusia,” kata UNRWA.

Tambah agensi itu, keupayaannya untuk membekalkan air telah merosot kepada separuh daripada jumlah yang dibekalkan semasa gencatan senjata terakhir, yang dibatalkan oleh Israel pada pertengahan Mac.

Penurunan itu berpunca daripada pengeboman berterusan, arahan pengusiran paksa, serta larangan penghantaran bahan api oleh pihak berkuasa Israel yang kini berlanjutan lebih 100 hari.

“Penarikan air dari telaga terpaksa dihentikan akibat kekurangan bahan api. Beberapa telaga pula terletak di kawasan berisiko tinggi dan sukar diakses. Paip utama juga mengalami kerosakan serta kebocoran, manakala lori tangki air sering gagal sampai ke lokasi sasaran,” katanya.

UNRWA turut menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih parah.

Bulan lalu, beberapa majlis perbandaran di Gaza memberi amaran bahawa mereka tidak lagi mampu mengendalikan perkhidmatan asas, termasuk operasi telaga air, akibat kekurangan bahan api.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sejak Oktober 2023, sebanyak 719 telaga air telah dimusnahkan atau tidak lagi dapat digunakan akibat tindakan ketenteraan Israel, sekali gus mencetuskan krisis air yang semakin meruncing.

Sementara itu, Pelapor Khas PBB mengenai hak terhadap air bersih dan sanitasi, Pedro Arrojo-Agudo menyifatkan pemusnahan sistem bekalan air serta sekatan terhadap akses air bersih oleh Israel sebagai “bom senyap yang membawa maut.”

Sejak penutupan lintasan sempadan oleh Israel pada 2 Mac lalu, Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang serius. Langkah tersebut menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan, bantuan kemanusiaan, dan bahan api, selain serangan ketenteraan yang dilabel sebagai genosid.

Sehingga kini, lebih 56,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak, susulan serangan yang dilancarkan Israel sejak Oktober tahun lalu.

Related Posts

Malaysia gesa reformasi institusi kewangan antarabangsa, sistem perdagangan global

NEW YORK – Malaysia menggesa reformasi terhadap institusi kewangan antarabangsa dan sistem perdagangan multilateral supaya lebih berkesan dalam memenuhi keperluan negara membangun. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Proses bina semula Gaza perlu disegerakan

NEW YORK – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menegaskan dunia mesti segera memulakan pembinaan semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan berterusan Israel. “Kita mesti memulakan pembinaan semula Semenanjung Gaza…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Empat lelaki maut, lima kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Sepanggar

  • By Ezmie
  • September 27, 2026
Empat lelaki maut, lima kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Sepanggar

Jangan terpedaya akaun palsu tawar pendaftaran STR – Fahmi

Jangan terpedaya akaun palsu tawar pendaftaran STR – Fahmi

Gerakan Islam mesti berteraskan ilmu, akhlak – Anwar

Gerakan Islam mesti berteraskan ilmu, akhlak – Anwar

Polis giat kesan suspek ragut beg tangan wanita di Kampung Baru Semenyih

  • By Aden
  • September 27, 2026
Polis giat kesan suspek ragut beg tangan wanita di Kampung Baru Semenyih

England tewas tipis kepada Sepanyol

England tewas tipis kepada Sepanyol

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang