
KOTA KINABALU – Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah
(UMS) kini rasmi diiktiraf sebagai antara satu Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI) negara, menjadikannya institusi pertama dan satu-satunya di Sabah yang menerima pengiktirafan berprestij itu.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar simbol kecemerlangan akademik, tetapi ia membawa amanah besar dalam meneraju pembangunan bakat digital di Sabah dan rantau Borneo.
“Hari ini kita berkumpul bukan sekadar untuk program CSR, tetapi bagi mengiktiraf peranan strategik FKI, UMS yang kini secara rasmi diangkat sebagai salah satu PDTI negara.
“FKI UMS kini merupakan satu-satunya institusi di negeri ini yang memegang status PDTI, sekali gus memperkukuh kedudukan UMS sebagai hab pembangunan bakat digital di Malaysia Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama UMS dan Penyerahan Plak PDTI kepada FKI di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS, di sini pada Jumaat.
Jelasnya, status ini turut membuka akses strategik kepada kolaborasi industri, pemindahan ilmu, latihan pensyarah dan pendedahan pelajar kepada teknologi masa hadapan serta kemahiran sebenar yang dituntut oleh industri digital kini.
“Lebih penting, peranan PDTI ini turut melangkaui sempadan kampus, melalui pelbagai inisiatif bersama komuniti luar termasuk belia, pelajar sekolah dan usahawan mikro.
“Inilah semangat perkongsian ilmu dan pemerkasaan inklusif yang seharusnya kita teruskan,” ujarnya.
Wilson berkata, beliau yakin pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik, pembangunan kurikulum berasaskan keperluan industri, serta peluang pelajar untuk meneroka bidang teknologi yang sentiasa berkembang pesat.
Sebagai rekod, setakat ini hanya 46 fakulti PDTI daripada 28 institusi pengajian tinggi seluruh negara, merangkumi sebelas universiti awam, 10 universiti swasta dan tujuh politeknik.






