
SANDAKAN – Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) yang diperkenalkan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 dijangka merancakkan lagi penganjuran konsert berskala besar di negara ini dengan peruntukan RM10 juta yang dikendalikan oleh MyCreative Ventures (MyCV).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, CEMI menyasarkan acara yang mampu menarik lebih 15,000 penonton, termasuk konsert artis antarabangsa dan tempatan, dengan bayaran insentif berbentuk rebat akan disalurkan selepas acara selesai dijalankan.
“CEMI adalah insentif bersifat rebat dan permohonan boleh dihantar sekarang, tetapi bayaran hanya dibuat selepas acara berlangsung. Ini untuk memastikan ketelusan dan elak salah guna dana kerajaan.
“Permohonan bagi insentif CEMI kini dibuka sehingga tarikh tutup pada 10 Julai depan dan setakat ini sebanyak 37 permohonan diterima dari seluruh negara.
“Saya percaya masih ramai yang belum tahu mengenai dana baharu ini.
“Oleh itu, saya menggalakkan semua yang berminat untuk segera membuat permohonan secara dalam talian melalui laman MyCreative Ventures,” katanya kepada media selepas merasmikan program ‘Kembara Ask Me Anything’ Program Pembangunan Industri bertempat di Rock Paper Scissors Cafe, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, sektor konsert di Malaysia menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan 294 konsert antarabangsa dianjurkan pada tahun 2023 yang menyumbang lebih RM498 juta kepada ekonomi dan 408 konsert antarabangsa pada 2024 yang menjana RM335 juta.
Program libat urus bersama penggiat seni dan industri kreatif yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi itu turut memaklumkan pelbagai inisiatif dan dana sedia ada yang ditawarkan kepada para penggiat industri kreatif, termasuk Dana Kandungan Kreatif.
Teo berkata, program ini merupakan platform penting bagi menjelaskan tatacara permohonan, tarikh tutup dan kriteria yang ditetapkan oleh MyCV sebagai agensi pelaksana.
“Ini adalah persinggahan pertama di Sabah, kami mulakan di Sandakan. Pasukan yang sama akan ke Kota Kinabalu pada 18 dan 19 Jun 2025 dan seterusnya ke Kuching, Sarawak pada 21 Jun ini,” katanya.
Antara dana di bawah Dana Kandungan Kreatif termasuk Dana Persembahan Muzik, Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik.
Dalam program tersebut, Teo turut menyaksikan penyerahan dana sebanyak RM80,000 kepada Sandakan Creative Arts and Local Musicians Association yang merupakan penerima Dana Persembahan Muzik bagi penganjuran Sandakan Natural City Loud Festival yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
Teo turut mengingatkan bahawa tarikh tutup permohonan bagi Dana Persembahan Muzik adalah pada 30 Jun ini, manakala dua lagi dana pemasaran akan ditutup pada 1 Disember 2025.
“Sejak tahun 2022 hingga kini, Dana Kandungan Kreatif ini telah berjaya menjana lebih 9,000 peluang pekerjaan.
“Ini menunjukkan impak positif dana kepada pembangunan industri seni negara,” katanya.





