
KUALA LUMPUR – Tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ diumumkan sebagai tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, logo Malaysia MADANI yang digunakan kini akan terus dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan HKHM sehingga tahun 2027.
“Tema ini dipilih untuk menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian utama,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Menurut beliau, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang akan diadakan pada 27 Julai 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pula akan berlangsung seperti biasa pada 31 Ogos, bertempat di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia pada 16 September akan disambut di Pulau Pinang, selari dengan amalan penggiliran antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Matlamat dalam pergiliran ini adalah untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan antara semua wilayah dan negeri di Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, sebanyak 14 program sisipan dan aktiviti patriotik akan dianjurkan di seluruh negara sempena sambutan HKHM kali ini. Antaranya termasuklah Quran Hour, Kiraan Detik Merdeka, dan Majlis Memperingati Negarawan.
Maklumat lanjut mengenai program dan pengisian sambutan boleh diperoleh melalui portal Merdeka360.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengumumkan peluasan inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang, yang sebelum ini mencatat sebanyak 698 program dalam lima kluster pada tahun 2024.
“Tahun ini, dua kluster baharu akan diperkenalkan, iaitu kluster industri dan kluster agensi kerajaan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada tujuh kluster, termasuk kluster pendidikan, kesihatan, keselamatan dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, program ini akan terus menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, pejabat, bangunan kerajaan serta kenderaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa bendera yang lusuh, pudar atau koyak hendaklah digantikan dengan bendera yang baharu. Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, tetapi manifestasi cinta dan penghormatan kepada negara,” ujarnya.





