SELEPAS lebih setahun memulakan ekspedisi mengelilingi dunia menggunakan Perodua Kenari, Jack Voon Kuet Fui sudah tiba ke benua Afrika.
Lelaki berusia 47 tahun dari Sarawak itu berkongsi mengenai perjalanannya di negara Maghribi melalui laman sosial Facebook miliknya semalam.
“Selepas mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran merentasi benua Asia serta Eropah, akhirnya (Perodua) Kenari menjejak ‘kaki’ di bumi Afrika yang serba misteri.
“Mungkin ini adalah kereta Perodua Kenari pertama yang sampai ke sini dan saya bangga menjadi rakyat Malaysia yang berani menyahut segala kepayahan demi impian sejak kecil,” katanya.
![]()
Kuet Fui yang juga ahli Persatuan Eksplorasi dan Pengembaraan Malaysia, memulakan ekspedisinya pada 1 Mei tahun lalu di pekarangan menara Kuantan 188.
Menggunakan wang sumbangan rakan dan orang ramai, selain tabungan sendiri, ekspedisi itu tidak menerima dana daripada mana-mana pihak.
“Sejak kecil saya memang ingin melihat dunia dengan cara sendiri, kalau boleh nak menjelajah ke segenap pelusuk dunia tanpa mengira benua mana.
“Impian itu saya cuba laksanakan dengan menyimpan sedikit demi sedikit wang dan ramai juga kenalan serta orang ramai yang tertarik dengan perjalanan saya, turut memberi sumbangan,” katanya lagi.
Menceritakan pengalaman sepanjang lebih setahun berkelana secara solo, dia mengakui paling terkesan dengan sikap masyarakat di beberapa wilayah di benua Eropah.
![]()
Katanya, dia pernah menjadi mangsa penipuan ketika ingin memasuki sempadan negara tertentu dan cabaran harga bahan api yang mahal.
“Bukan semua komuniti di negara berkenaan yang menipu atau ambil kesempatan, ada juga penduduk tempatan yang menyambut saya dengan tangan yang terbuka.
“Saya juga bertuah kerana sering menerima layanan baik apabila berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di luar negara,” jelasnya.
Selepas merentasi kawasan padang pasir, bersalji dan dataran berbatu, Kuet Fui mengakui amat terkejut dengan prestasi Perodua Kenari.
Katanya, kereta kecil itu mempunyai banyak kejutan yang sukar difahaminya.
“Walaupun jentera ini beberapa kali mengalami kerosakan, setakat ini ia tidak mendatangkan masalah besar kepada perjalanan ekspedisi saya,” katanya.
Dia juga memaklumkan sejak memulakan perjalanannya itu, dia lebih banyak tidur dalam kereta dan khemah dibawa, selain memasak sendiri makanan bagi menjimatkan perbelanjaan.
![]()
“Bajet saya agak ‘ketat’ jadi kena pilih untuk tidur dalam kereta atau khemah saja.
“Makan pun biasanya saya masak sendiri, kos makan di negara Eropah terlalu tinggi, jadi baik saya simpan sikit untuk isi minyak dan perbelanjaan kecemasan lain,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia merindui tanah air, Kuet Fui memberitahu, perkara itu antara yang selalu bermain dalam fikirannya.
“Setiap kali singgah di pejabat kedutaan Malaysia, kerinduan itu hilang seketika.
“Macam baru-baru ini, saya dijamu makanan tempatan seperti teh tarik, mee goreng dan kuih pandan ketika singgah di pejabat Kedutaan Malaysia di Maghribi.
“Duta kita, Datuk Shahabudeen Adam Shah bersama keluarga dan kakitangan di situ mengalu-alukan kedatangan saya… mereka sangat teruja dengan kisah pengembaraan ini,” katanya.
Dia berharap dapat melangsaikan ekspedisi itu menjelang bulan Mei 2027 dan kembali ke tanah air untuk berkongsi pengalaman sepanjang ekspedisi berkenaan.








