
TAIPING – Seramai 28 penumpang bersama seorang pemandu sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 406 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kamunting, malam Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, insiden dipercayai berlaku selepas bas terbabit terseret dengan sebuah motosikal yang sebelumnya terbabas di lokasi sama.
“Sebaik menerima laporan pada jam 9.16 malam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati sebuah bas ekspres terbakar hampir 90 peratus dipercayai akibat pergeseran dengan motosikal tersebut. Seramai 28 penumpang dan pemandu berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan pada awal pagi Jumaat.
Beliau turut memaklumkan, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.
Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Johor menuju Pulau Pinang.

Menurut Sabarodzi lagi, kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.33 malam.
“Mangsa yang cedera ringan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.







