PUTRAJAYA – Tiada rombakan Kabinet akan dilaksana Kerajaan MADANI susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau tidak pernah sama sekali terfikir untuk merombak barisan Jemaah Menteri.
Menurutnya, pertukaran anggota Jemaah Menteri baharu tidak boleh dilakukan kerana Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu secara asasnya sedang bercuti.
“Belum (fikir buat rombakan), mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) masih bercuti, kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, pada Khamis.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan meletak jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun serta 4 Julai depan.
Kedua-dua pemimpin itu mengambil langkah berundur selepas mengalami kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Kedua-dua menteri itu sebelum ini tewas pada Pemilihan PKR 2025 dengan Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan sebagai Naib Presiden.
Susulan pengumuman terbabit, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan, Anwar meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.



