
KUMPULAN perjuangan Palestin, Hamas, telah membebaskan seorang tebusan warganegara Israel-Amerika, Edan Alexander, di Gaza pada petang Isnin.
Menurut laporan saluran Israel Channel 7, Alexander telah diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di bandar Khan Younis, yang terletak di selatan Gaza.
Alexander merupakan tebusan terakhir berwarganegara Amerika Syarikat yang diketahui masih hidup dan berada dalam tahanan di Gaza.
Tentera Israel dalam satu kenyataan di platform X menyatakan bahawa pasukan mereka di Gaza telah menerima Alexander daripada pihak ICRC.
Menurut mereka, anggota dari unit khas sedang mengiringinya kembali ke wilayah Israel, di mana beliau akan menjalani pemeriksaan kesihatan awal sebelum disatukan semula dengan ahli keluarganya, lapor Anadolu.
Dalam kenyataan sebelum itu, pihak tentera memaklumkan bahawa ICRC telah menghubungi mereka mengenai proses penyerahan yang difahamkan berlaku di kawasan utara Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza.
Penyiar rasmi Israel turut melaporkan bahawa utusan Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, bersama penyelaras Israel untuk individu hilang dan ditawan, Gal Hirsch, sedang menuju ke pangkalan tentera Re’im berhampiran Gaza menggunakan helikopter untuk menyambut Alexander.
Pembebasan Edan Alexander adalah hasil perundingan tidak langsung antara Hamas dan Amerika Syarikat, di mana Mesir dan Qatar menjadi ‘orang tengah’, tanpa penglibatan langsung daripada Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, satu delegasi perunding dari Israel dijadualkan berangkat ke Doha pada hari Selasa untuk membincangkan kemungkinan pelaksanaan gencatan senjata dan pertukaran tahanan. Keputusan ini dibuat selepas pertemuan antara Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Steve Witkoff, dan Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, yang turut melibatkan panggilan telefon bersama Presiden Donald Trump.
Laporan dari Yedioth Ahronoth menyebut bahawa Netanyahu dan Witkoff bersetuju supaya pasukan perunding Israel kekal berada di Doha sekurang-kurangnya sehingga Khamis, bertepatan dengan lawatan rasmi Trump ke ibu negara Qatar.
Trump dijadualkan mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 16 Mei — yang merupakan lawatan pertamanya ke rantau tersebut sejak memulakan penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari lalu.
Menurut anggaran pihak berkuasa Israel di Tel Aviv, terdapat seramai 58 rakyat Israel yang masih ditawan di Gaza, dengan 21 daripadanya disahkan masih hidup.
Sementara itu, lebih daripada 9,900 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel, di mana mereka didakwa menghadapi penyeksaan, kebuluran, dan pengabaian perubatan — keadaan yang telah menyebabkan beberapa kematian, menurut laporan media Palestin dan Israel serta organisasi hak asasi manusia.
Hampir 52,900 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan ganas oleh Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang yang dilancarkan di wilayah Gaza.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pada Isnin menyambut baik pembebasan tebusan terakhir warga Israel-Amerika yang masih hidup dari Gaza.
“Setiausaha Agung mengalu-alukan pembebasan Edan Alexander, seorang warganegara Amerika-Israel yang telah ditawan di Gaza sejak 7 Oktober 2023. Beliau amat lega kerana Alexander telah dibebaskan dan kini kembali kepada keluarga serta orang tersayangnya selepas melalui detik yang amat mencemaskan,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Guterres sekali lagi mengulangi gesaannya yang mendesak agar pertempuran di Gaza dihentikan serta menekankan keperluan untuk membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.





