
KOTA KINABALU — UMNO Sabah menyambut baik keputusan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat yang bersetuju untuk membentuk kerjasama strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu disambut dengan penuh rasa syukur kerana ia membuka ruang ke arah pembentukan satu gabungan mantap untuk berdepan dengan mandat rakyat di negeri ini.
“Saya bersyukur kerana akhirnya kedua-dua pemimpin tertinggi PH dan BN di peringkat pusat telah memutuskan rangka struktur kerjasama untuk menghadapi pilihan rakyat Sabah ini, iaitu melalui gabungan BN dan PH,” katanya kepada The Malaysia Press ketika ditemui di Kota Kinabalu pada Ahad.
Bagaimanapun, Bung Moktar menegaskan bahawa dalam menyambut kerjasama tersebut, prinsip autonomi politik Sabah tetap akan dipertahankan. Katanya, UMNO dan BN Sabah akan menentukan sendiri strategi kempen, calon, serta kerusi yang akan ditandingi berdasarkan sentimen, keperluan dan realiti politik tempatan.
“Kita menyahut seruan dan cadangan ini, namun dalam masa yang sama kita juga akan memastikan bahawa autonomi Sabah terus dipraktikkan. Ini termasuk menyusun strategi pilihan raya, menentukan calon-calon serta kerusi yang akan ditandingi,” katanya.
Tambah beliau, UMNO Sabah bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan PH dalam usaha memperincikan pembahagian kerusi dan hala tuju kempen bersama.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan semua parti dalam gabungan ini, sama ada di bawah BN mahupun PH, dapat menambat hati rakyat dan memperoleh sokongan padu dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan gabungan parti dalam kerajaan MADANI, khususnya BN dan PH, perlu disertai dengan kerjasama erat di peringkat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Tambah Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN itu juga berkata, BN tidak bercadang untuk bergerak secara bersendirian dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah melibatkan tiga gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi PH itu berkata, perbincangan berhubung kerjasama itu sebelum ini dilakukan di peringkat Persekutuan, namun keputusan pelaksanaannya akan ditentukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH di peringkat negeri Sabah.
“Kita bekerjasama tentunya dengan UMNO-BN dan GRS. Sebab itu saya datang juga dan mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor supaya kesepakatan ini lebih meluas dan kita ambil sikap yang lebih terbuka.
“Jadi itu saya nak jelaskan. Mengapa hal itu perlu? Kerana bagi kita, keutamaan ialah kestabilan politik nasional dan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pertemuan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah di Tawau pada Ahad.





