
KUDAT – Cubaan licik dua vesel nelayan asing (VNA) dari Vietnam yang menceroboh dan mengaut hasil laut secara haram di perairan Kudat akhirnya tumpas selepas dikejar dan dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam yang diterima, sebelum pasukan Maritim Malaysia menggerakkan Bot Cenderawasih 10 ke lokasi sekitar 4.2 batu nautika timur laut Pulau Latoan.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mengesan dua bot nelayan asing sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram.
“Suspek bertindak memotong tali tunda, membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang bot dan memasang palang besi di kiri serta kanan vesel sebagai cubaan menghalang tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, selepas mengejar selama kira-kira 15 minit, anggota Maritim berjaya menaiki bot berkenaan dan menghentikannya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan menemui peralatan besi khas untuk menangkap balat, bersama kira-kira 20 kilogram balat basah dan 2,000 liter minyak diesel.
“Turut ditahan, 11 kru bot warganegara Vietnam berusia antara 25 hingga 54 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot, hasil laut dan peralatan dianggarkan melebihi RM4 juta.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim sekitar Kudat atas kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut.



