WASHINGTON – Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS) membekukan geran bantuan penyelidikan bernilai berbilion dolar ke atas Universiti Harvard sehingga universiti elit itu memenuhi beberapa tuntutan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, kata seorang pegawai kanan jabatan itu.
Langkah ini adalah tindakan terbaru pentadbiran Trump yang sanggup menggunakan kuasa Persekutuan untuk memaksa pelbagai institusi – daripada firma guaman hingga universiti – membuat perubahan dasar menyeluruh atau berdepan kehilangan berbilion dolar dalam geran dan kontrak Persekutuan.
Universiti Harvard disasarkan berikutan dakwaan anti-semitik di kampus semasa protes pro-Palestin.
Protes itu tercetus akibat serangan tentera sekutu AS, Israel ke atas Gaza selepas serangan Hamas Palestin ke atas Israel pada Oktober 2023.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pentadbiran Trump meningkatkan tindakan mereka terhadap Harvard.
Mereka memulakan semakan rasmi terhadap hampir AS$9 bilion (kira-kira RM42.4 bilion) dana persekutuan untuk Harvard, menuntut universiti itu mengharamkan amalan kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusiviti (DEI), dan mengambil tindakan keras terhadap beberapa kumpulan pro-Palestin dan pemakaian topeng dalam protes.
Harvard menolak banyak tuntutan Trump bulan lalu, menyifatkannya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara dan akademik.
Mereka juga menyaman pentadbiran Trump selepas ia menggantung kira-kira $2.3 bilion (kira-kira RM10.8 bilion) dana Persekutuan untuk institusi pendidikan itu, sambil berjanji untuk menangani diskriminasi di kampus.






