
KUCHING – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam kenyataan Armada Bersatu Malaysia (Armada) yang didakwa memperkecilkan hak dan tuntutan Kerajaan Sarawak terhadap sumber minyak dan gas di negeri ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pemuda PBB menyifatkan pandangan Armada yang menjadikan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai satu-satunya undang-undang mutlak yang memberikan kuasa penuh kepada Petronas adalah tidak tepat serta mengabaikan kewujudan undang-undang negeri Sarawak.
Pemuda PBB menegaskan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) masih berkuat kuasa di Sarawak, dan Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa sah untuk mengawal selia aktiviti berkaitan minyak dan gas melalui peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Jadual Kesembilan – Senarai Negeri.
“Mana-mana pihak yang ingin beroperasi di Sarawak perlu akur dengan undang-undang negeri termasuk Ordinan OMO dan Ordinan Pengagihan Gas 2016,” ujar kenyataan itu.
Pemuda PBB turut mengingatkan kuasa meluluskan lesen dan sijil perlombongan di Sarawak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan oleh itu, segala aktiviti penggalian perlu mendapat kelulusan daripada Kerajaan Sarawak.
Mengulas lanjut, Pemuda PBB menggesa semua pihak termasuk Armada supaya lebih teliti dan menghormati undang-undang negeri sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan isu minyak dan gas.
“Jangan seolah-olah memperlekeh kewujudan undang-undang negeri. Sama seperti Sarawak digesa agar menghormati undang-undang Persekutuan, maka pihak lain juga wajar menghormati perundangan negeri,” katanya.
Pemuda PBB turut menyuarakan harapan agar PETROS dan Petronas dapat terus menjalinkan kerjasama secara harmoni berdasarkan undang-undang yang sedia ada demi memajukan sektor minyak dan gas di negeri ini.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi dan Media Baharu Exco Armada, Na’im Brundage menolak dakwaan Kerajaan Sarawak bahawa Petronas Carigali Sdn Bhd menjalankan operasi secara tidak sah di Miri Crude Oil Terminal.
Na’im berkata tuduhan tersebut bercanggah dengan PDA 1974 yang memberi hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal aktiviti petroleum di seluruh negara, termasuk di Sarawak. Beliau turut merujuk kepada perjanjian 1976 antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang menyerahkan kawalan ke atas sumber petroleum kepada Petronas.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan rasa kesal terhadap apa-apa yang disifatkan sebagai kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu ini, dan memberi amaran kegagalan mempertahankan Perlembagaan boleh memberi impak buruk kepada negara dan rakyat.
“Semua pihak perlu menjunjung semangat Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia,” katanya.





