
KUCHING – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat semasa sesi persekolahan pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima laporan kehilangan remaja tersebut yang dikenali sebagai Syifa Saffeyea Hazee Fazali, 14, pada 29 April lalu.
Mangsa merupakan pelajar Tingkatan 3 Hope, Sekolah Menengah Kebangsaan St Teresa Kuching dan dilaporkan hilang sekitar jam 1 petang.
“Ketika kejadian, mangsa memakai baju sukan berwarna ungu dengan lambang sekolah serta tulisan ‘SYLVIA’, tidak bertudung dan memakai kasut sekolah,” katanya.
Menurut beliau, pelajar berbangsa Melayu itu mempunyai ketinggian sekitar 151 sentimeter.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat Kes, Insp Tengku Mu’izz Farizzul di talian 016-8930607.
Pihak polis turut menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini.






