
PUTRAJAYA – Kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula esok, sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan MADANI.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar subsidi telur ayam dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula esok, manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos.
Kenyataan itu menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran yang stabil.
“Ini terbukti apabila bekalan telur semasa musim perayaan Aidilfitri lalu adalah mencukupi dengan harga kompetitif,” kata kennyataan itu.
KPKM memaklumkan, sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion – dalam bentuk subsidi kepada industri pengeluar telur – bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia menyebabkan harga import jagung dan soya melonjak.
“Kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian subsidi dan kawalan harga terlalu lama adalah tidak mampan untuk kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” jelasnya.
Langkah penyasaran semula itu, menurut KPKM, juga dianggap lebih adil kerana subsidi sebelum ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Hasil penjimatan subsidi ini kelak boleh disalurkan kepada pembiayaan projek tertentu demi kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai MADANI,” kata kementerian itu lagi.





