
KULIM: Kegagalan sebuah lagi kilang memproses ayam di daearah ini bagi membina Sistem Rawatan Efluen untuk merawat air sisa sembelihan ayam diarah menghentikan operasi serta merta.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di kilang di Taman Industri Waja, dekat ini itu mendapati, premis memproses ayam terbabit mengalirkan air sisa buangan tanpa sebarang rawatan.
Beliau berkata, premis itu dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Ini berikutan tindakan yang gagal mengadakan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian di dalam premis sewaktu aktiviti memproses ayam mentah.
“Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.
“Premis diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dilakukan segera bagi mengawal pencemaran.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 juga dikeluarkan kepada premis untuk tindakan dalam tempoh POK terbabit.
Beliau berkata, premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil oleh premis.
“Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling,” katanya.



