
TAPAH – Seorang pekerja kargo sanggup memandu lebih 400 kilometer pergi dan balik dari Nilai, Negeri Sembilan bagi membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, pada Sabtu.
Mohamad Haiqal Azhar, 23 berkata, walaupun perjalanan pergi dan balik mengambil masa lapan jam, itu tidak menjadi penghalang dalam memastikan hak memilih bagi dirinya dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Menurutnya, PRK Ayer Kuning merupakan kali kedua dia menunaikan tanggungjawab dalam membuang undi bagi memilih wakil rakyat yang berkaliber.
“Walaupun banyak berhabisan wang ketika balik pada raya pertama, bagi saya tidak mengapa keluar belanja lebih untuk balik membuang undi, apa yang penting kita dapat mendidik generasi muda mengenai tanggungjawab mengundi.
“Lagipun, saya anak tunggal, dalam masa sama, saya boleh bawa mak saya sekali untuk pergi mengundi sebab mak saya sudah tidak larat pergi sendiri kerana lapan tahun menghidapi sakit buah pinggang,” katanya.
Haiqal berkata demikian kepada The Malaysia Press (TMP) selepas membuang undi bersama ibunya, Umul Ilmah Mohd Toha, 53.
Sementara itu, Umul Ilmah memaklumkan, penyakit yang dialaminya bukanlah penghalang untuk dirinya menunaikan tanggungjawab keluar undi bagi memastikan Ayer Kuning memiliki wakil rakyat yang terbaik.
“Saya sudah tujuh kali mengundi dan kali ini saya pastikan saya laksana peranan saya sebagai rakyat Malaysia. Kali ini saya datang dengan anak sebab suami bekerja dahulu.
“Saya mengharapkan agar wakil rakyat yang terpilih oleh penduduk di Ayer Kuning dapat melaksanakan apa yang telah diamanahkan khususnya dalam memastikan apa yang ditawarkan ketika berkempen sebelum ini dapat ditunaikan secara holistik,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Dr Mohamad Yusri Bakir dari Barisan Nasional (BN); Abdul Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ia diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.



