Stigma Melayu dalam DAP tak jejas sokongan rakyat undi calon BN

TAPAH – Sentimen dan persepsi negatif yang dimainkan pihak tertentu mengenai pemimpin Melayu dalam DAP tidak menggugat sokongan rakyat kepada calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, kebanyakan stigma negatif itu timbul daripada pihak yang tidak mengenali pemimpin Melayu dalam DAP dengan lebih dekat.

Menurutnya, pandangan itu akan berubah apabila rakyat menyaksikan sendiri kemampuan dan peranan aktif mereka di kawasan masing-masing.

“Kalau betul-betul mahu lihat orang Melayu DAP buat kerja, datanglah ke Bangi, Bentong dan Johor. Boleh lihat sendiri bagaimana kita buat kerja.

“Saya fikir kebanyakan persepsi itu wujud daripada situasi di mana orang ramai tidak kenal pemimpin Melayu DAP.

“Orang cakap tidak kenal maka tidak cinta, jadi dengan cara turun ke sini (Tapah) dan tempat-tempat lain, rakyat boleh mengenali kami dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui media di warung Capati Perak, pada Jumaat.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Dalam pada itu, Syahredzan berkata,
tindakan DAP membantu jentera BN pada PRK  Ayer Kuning bukan hanya mempamerkan sokongan politik, namun
mencerminkan usaha lebih luas bagi mencabar persepsi negatif serta memperkukuh kerjasama antara parti komponen membentuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi menegaskan, sokongan terhadap calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, selaras komitmen Pakatan Harapan (PH) membantu gabungan itu menghadapi PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.

“Antara cabaran dihadapi mana-mana PRK ialah peratusan keluar mengundi yang mungkin tidak setinggi ketika Pilihan Raya Umum (PRU). PRK biasanya kurang meriah seperti PRU.

“Jadi tumpuan kami untuk meyakinkan pengundi luar supaya kembali menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 26 April ini. Tugas ini penting terutama apabila ramai yang baru sahaja pulang ke kampung halaman ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini,” katanya.

Tambah beliau, rakyat di Perak juga tidak asing dengan pemimpin Melayu dalam DAP dan telah lama menerima kehadiran mereka.

“Di Perak kita ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari yang juga Naib Pengerusi DAP Perak. Jadi warga Perak sebenarnya tidak asing dengan DAP,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Related Posts

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

ADA pihak yang memberikan gambaran seolah-olah Jabatan Audit Negara (JAN) mengatakan Tabung Haji tidak mempunyai masalah, manakala hanya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mendakwa Tabung Haji bermasalah. Itu tidak benar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelajar cemerlang UIAM perlu RM20,000 untuk visa, sambung pengajian ke UK

TAWAU – Seorang graduan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 4.00 memerlukan sokongan dana sebanyak RM20,000 bagi menampung kos visa sebelum melanjutkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anggota Marin cedera jari, perut terkena tembakan semasa bertugas

  • By Fatin
  • August 27, 2026
Anggota Marin cedera jari, perut terkena tembakan semasa bertugas

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta