
TAPAH – Penduduk di Kampung Tanjung Keramat menafikan terdapat ladang babi beroperasi di kawasan tersebut, seperti didakwa oleh Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri.
Berdasarkan pemerhatian The Malaysia Press (TMP), tiada ladang babi haram yang wujud di kampung tersebut, malah industri hiliran itu yang memiliki lesen telah menggunakan sistem penternakan moden dan berhawa dingin selain ditempatkan sejauh kira-kira tiga kilometer (KM) dari penduduk setempat.
Malah, rata-rata penduduk menyangkal dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bahawa kewujudan ladang babi berlesen itu menyebabkan penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.
Peniaga, Ramlah Sahid, 60 berkata, walaupun terdapat bau kurang menyenangkan serta serangan lalat akibat daripada penternakan ladang babi namun ia bukan berlaku setiap hari berikutan terletak jauh dari kawasan Kampung Tanjung Keramat.

“Bukan berlaku sentiasa (serangan lalat dan bau), sesekali sahaja kalau di kampung sini, itu pun isu ini baru-baru sahaja.
“Tapi isu (ladang babi) bukan di Kampung Tanjung Keramat kerana ia jauh daripada sini dan jauh daripada kawasan rumah penduduk,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui di kedai makan kampung tersebut, pada Khamis.
Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru SC Redang Ponggor, Hazil Suki, 42, turut senada bahawa bau busuk bukanlah berlaku sepanjang masa selain tidak menjadi isu besar kepada penduduk mahupun pelajar sekolah.

“Tiada pelajar atau cikgu yang mengadu tentang lalat atau bau busuk walaupun sekolah ini tidak jauh dari kawasan penternakan itu. Saya akui memang ada bau namun selalunya terjadi kira-kira antara jam 7 pagi sehingga 10 pagi.
“Waktu tersebut sahaja baunya sedikit kurang menyenangkan namun tidak menggangu pelajar dan cikgu. Makanan yang dijual di kantin sekolah pun adalah juga berlaku serangan lalat namun tidak berlaku setiap hari” katanya.
Dalam pada itu, seorang buruh binaan, Kamil Musa, 60 memaklumkan tuduhan bahawa penternakan babi menjadi faktor utama penduduk berdepan dengan serangan lalat dan bau busuk adalah tidak tepat susulan penggunaan baja haiwan turut membawa kepada punca perkara terbabit selain ia berlaku secara bermusim.

“Ini memang kawasan banyak lalat sebab tempat pertanian, di mana petani mahupun peladang menggunakan baja haiwan seperti tail ayam. Namun bukanlah berlaku setiap hari, ia datang secara musim kalau seperti di kampung ini, lebih kurang April ke Julai, memang akan berlakulah.
“Isu sebenar lalat lebih kepada baja tanaman bukan kepada ladang babi seperti dakwaan sesetengah pihak,” katanya.
Terdahulu, Hafez Sabri ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendedahkan terdapat ladang babi beroperasi di Ayer Kuning, lebih-lebih lagi di Kampung Tanjung Keramat yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi terbabit memberitahu, penduduk di kawasan berkenaan menyatakan ketidakpuashatian kerana isu tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.
Malah, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menerusi sidang media pada Khamis turut memaklumkan pihaknya turut meminta kerajaan negeri mewajibkan penggunaan sistem penternakan moden yang tidak mengeluarkan bau susulan mendakwa penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.





